Imam Ja'far
al-Sadiq AS adalah putera kepada Imam Muhammad ibn Ali AS. Imam Ja'far
al-Sadiq AS lahir pada 17 Rabiul Awwal tahun 83 Hijrah iaitu pada zaman
pemerintahan Abdul Malik bin Marwan. Ibu kepada Imam Ja'far al-Sadiq AS
ialah Fatimah puteri kepada al-Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakar. Beliau AS
merupakan anak sulung kepada Imam Muhammad al-Baqir AS. Saudara seibunya
ialah Abdullah ibn Muhammad AS.
Saudara-saudara-saudaranya
yang berlainan ibu ialah Ibrahim dan Ubaydullah beribukan Umm Hakim puteri
Asid ibn al-Mughirah al-Thaqafi, Ali dan Zainab beribukan wanita hamba, dan
juga Ummu Salamah dari ibu wanita hamba. Beliau dibesarkan dengan asuhan
ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS dan perhatian datuknya Imam Ali
Zainal Abidin AS. Imam Muhammad ibn Ali AS dikenali dengan panggilan Imam
Muhammad "al-Baqir" yang membawa maksud pembelah ilmu. Gelaran
ini telah diberikan oleh Rasulullah S.A.W kepada beliau. Sebuah Hadith yang
diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah al-Ansari, bermaksud:
"Rasulullah
S.A.W bersabda kepadaku:"Akan berlaku nanti kamu hidup sehingga kamu
bertemu dengan seorang daripada keturunanku dari al-Husayn AS bernama
Muhammad, beliau akan memecahkan kebuntuan ilmu agama. Bila kamu
menemuinya, sampaikan salamku kepadanya. [Syaikh al-Mufid, Al-Irshad, Bab
fi Dzikir al-Imam Muhammad al-Baqir, hlm. 294]"
Imam Ja'far
al-Sadiq AS adalah cucu kepada Imam Ali Zainal Abidin iaitu ayahanda kepada
Imam Muhammad al-Baqir AS. Imam Ali Zainal Abidin AS dikenali dengan
panggilan "al-Sajjad" yang bermaksud yang banyak bersujud. Imam
Ali Zainal Abidin AS dan puteranya Imam Muhammad al-Baqir AS hadir dalam
peristiwa karbala yang menyayat hati itu. Imam Ali Zainal Abidin AS wafat
pada tahun 95 Hijrah akibat diracun oleh khalifah al-Walid bin Abdul Malik.
Pada zaman
remajanya, Imam J'afar AS, turut menyaksikan kejahatan dinasti Bani Umayyah
seperi al-Walid bin Abdul Malik (86-89H) dan Sulaiman bin Abdul Malik
(96-99H). Kedua-dua bersaudara inilah yang terlibat dalam pakatan meracun
Imam Ali Zainal Abidin AS pada tahun 95 Hijrah. Pada ketika itu Imam Ja'far
al-Sadiq AS baru berusia kira-kira 12 tahun. Beliau juga dapat menyaksikan
keadilan Umar bin Abdul Aziz 996-101H). Pada zaman remajanya Imam Ja'far AS
menyaksikan puncak kekuasaan dan kejatuhan Bani Umayyah. Tatkala al-Baqir
AS kembali ke rahmatullah pada 7 Zul Hijjah 114 Hijrah, Imam Ja'far
al-Sadiq AS berusia 31 tahun. Dengan kewafatan ayahandanya, Imam Ja'far
al-Sadiq AS, menjawat jawatan Imam kaum Muslimin berdasarkan nas yang
terang dari ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS. Muhammad ibn Abi Umayr
meriwayatkan dari Hisham ibn Salim dari Aba Abdillah Ja'far ibn Muhammad AS
(beliau) berkata yang bermaksud:
"Ketika
ayahandaku menghampiri saat-saat kewafatannya, beliau berkata: "Ja'far
aku memberikan kepadamu wasiat perintah kepadamu sypaya memperlakukan dan
mengasuh pengikut-pengikutku dengan baik." "Semoga saya menjadi
tebusanmu," Aku menjawab," Demi Allah, saya akan mendidik mereka
supaya mereka memahami agama mereka, dengan itu mereka tidak perlu meminta
nasihat dari sesiapa pun dari kalangan orang lain." [Syaikh al-Mufid,
Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Terdapat
lagi riwayat-riwayat lain yang menunjukkan hak Imamah Imam Ja'far al-Sadiq
AS yang termasuk dalam 12 Imam dari Ahlul Bayt AS. Aban ibn Uthman
meriwayatkan dari Abu al-Sabbah al-Kinani (beliau) berkata:
"Abu
Ja'far Muhammad AS ketika memandang anaknya Abu Abdillah Ja'far AS dan
(beliau) berkata kepada kami: "Lihatlah lelaki itu? Dia adalah seorang
yang Allah Yang Maha Tinggi dan Berkuasa firmankan:" Dan Kami hendak
memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak
menjadikan mereka Imam dan orang-orang yang mewarisi (Q28:5)." [Syaikh
al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Hisham ibn
Salim meriwayatkan dari Jabir ibn Yazid al-Jufi:
"Abu
Ja'far Muhammad AS ketika ditanya tentang orang yang akan menjadi al-Qaim
selepas beliau. Beliau menepuk-nepuk Aba Abdillah Ja'far AS dengan
tangannya dan berkata:" Demi Allah, inilah lelaki dari keluarga
Muhammad AS yang akan menjadi al-Qaim Imamah." [Syaikh al-Mufid,
Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b. Muhammad al-Sadiq AS]
Yunus ibn
Abd Rahman meriwayatkan dari Abd al-A'la dari kekuarga Sam, dari Abu
Abdillah Ja'far AS (beliau) berkata:
"Ayahku
(Muhammad ibn Ali AS) mewasiatkan (kepada yang hadir). Ketika beliau hampir
wafat, beliau berkata: "Panggil saksi-saksi untukku." Aku (Abu
Abdillah Ja'far AS) memerintahkan empat orang lelaki dari Bani Quraysh, di
antara mereka ialah Nafi'. (Ayahku berkata):" Tulis wasiat ini, aku
wasiatkan seperti Yakub mewasiatkan kepada anak-anaknya:" Anak-anakku,
sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati
kecuali dalam agama Islam (Q2:132)." Muhammad ibn Ali AS menyediakan
wasiat terakhir ini kepada Ja'far ibn Muhammad AS. Beliau memerintahkan
Ja'far mengapankannya dengan jubah yang beliau sering gunakan untuk solat
Jumaat, memakaikan beliau serban, membentuk kuburnya empat persegi,
meninggikan kuburnya empat jengkal daripada bumi dan mengambil pakaian
kotornya jauh daripadanya ketika pengkebumiannya. Kemudian beliau berkata
kepada saksi-saksi:" Pergilah kamu semua semoga Allah mengasihi kamu
semua." Ayah, aku berkata kepadanya (selepas mereka semua
beredar)." Mengapakah mereka menyaksikan semua ini?"
"Anakku," Beliau menjawab," Aku tidak mahu nanti kamu
diatasi kerana dikatakan kamu tidak diwasiatkan. Aku mahu kamu mempunyai
hujah dan bukti."[Syaikh al-Mufid, Kitabul Irshad, Bab Imam Ja'far b.
Muhammad al-Sadiq AS]
Malahan hal
tersebut telah dinyatakan dalam hadith Rasulullah S.A.W. Shaykh Sulaiman
Balkhi Hanafi meriwayatkan dalam Yanabi al-Mawaddah, meriwayatkan dari
kitab Fara'ed al-Simtain oleh Humaini dari Mujahid, dari Ibn Abbas, bahawa
seorang Yahudi bernama Na'tsal datang kepada Rasulullah S.A.W dan berkata:
"
Wahai Muhammad! Aku akan bertanya anda beberapa perkara yang tidak
menyenangkan hatiku seketika. Sekiranya anda dapat memberi jawapan
kepadaku, nescaya aku akan memeluk Islam di tangan anda. Beliau S.A.W
bersabda:" Tanyalah wahai Abu 'Ammarah' Dia bertanya beberapa perkara
sehingga dia berkata: Beritahukan kepadaku tentang wasi anda siapa dia?
Tidak ada seorang nabi melainkan ada baginya seorang wasi. Dan sesungguhnya
nabi kami Musa bin Imran telah berwasiatkan kepada Yusyu' bin Nun. Nabi
S.A.W menjawab:" Sesungguhnya wasiku ialah Ali ibn Abi Talib AS;
selepas beliau ialah Hasan dan Husayn AS dan selepasnya ada sembilan orang
yang kesemuanya adalah dari keturunan Husayn AS. Namakan mereka kepadaku.
Beliau S.A.W menjawab: Apabila wafatnya Husayn AS ialah anaknya Ali AS akan
menjadi Imam; apabila wafatnya Ali ialah anaknya Muhammad; apabila wafatnya
Muhammad ialah anaknya Ja'far; apabila wafatnya Ja'far ialah anaknya Musa;
apabila wafatnya Musa ialah anaknya Ali; apabila wafatnya Ali ialah anaknya
Muhammad; apabila wafatnya Muhammad ialah anaknya Ali; apabila wafatnya Ali
ialah anaknya Hasan; apabila wafatnya Hasan ialah anaknya al-Hujjah
Muhammad al-Mahdi. Bilangan mereka adalah dua belas orang..." [Yanabi
al-Mawaddah, hlm.446-447]
Akhirnya
lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan menceritakan bahawa nama-nama para Imam
Dua Belas telah tertulis di dalam buku-buku para nabi yang terdahulu, dan
ia termasuk di antara apa yang telah dijanjikan oleh Musa AS.
Allamah
al-Hilli dsalam al-Babu l-Hadi 'Ashar juga meriwayatkan sebuah hadith yang
diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari:
"
Apabila Allah Yang Maha Tinggi berfirman:" Wahai orang-orang yang
beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu
(Q4:58), aku berkata: Wahai Rasulullah kami mengetahui dan mengenal Allah
dan kami mentaatiNya dan kami mengetahui dan mengenal anda dan mentaati
anda tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan Ulil Amri itu, yang Allahj
perintahkan kami mentaati mereka? Beliau bersabda," Wahai Jabir,
mereka adalah pengganti-penggantiku dan memiliki autoriti selepasku. Yang
pertama ialah Ali, kemudian anaknya Hasan, kemudian Husayn, kemudian Ali
ibn Husayn, kemudian Muhammad ibn Ali dan kamu akan nanti menemuinya, Wahai
Jabir, apabila kamu bertemu dengannya sampaikanlah salamku kepadanya,
kemudian Ja'far ibn Muhammad, kemudian Musa ibn Ja'far, kemudian Ali ibn
Musa, kemudian Muhammad ibn Ali al-Jawad, kemudian Ali ibn Muhammad,
kemudian Hasan ibn Ali, kemudian Muhammad ibn al-Hasan yang akan memenuhi
bumi ini dengan keadilan sebagaimana ketika itu ia dipenuhi dengan
kezaliman."
Dalam hal
ini al-Kulaini dalam al-Kafi meriwayatkan satu hadith yang panjang dari
Imam Ja'far al-Sadiq AS daripda Abu Basir (beliau berkata):
" Aku
bertanya kepada Aba Abdillah AS tentang firman Allah Azawajalla 'Taatilah
Allah, taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu'. Beliau menjawab,"
Ia (ayat ini) diwahyukan berkenaan Ali ibn Talib, al-Hasan dan al-Husayn
AS." Aku berkata kepadanya," Mereka berkata," Maka mengapa Allah
Azawajalla tidak menamakan Ali dan Ahlul Bayt di dalam KitabNya?"
Beliau AS menjawab," Jelaskan kepada mereka: Perintah berkenaan solat
diturunkan kepada Rasulullah S.A.W tetapi Allah tidak menjelaskan
perinciannya tiga atau empat rakaat, oleh itu Rasulullah S.A.W lah yang
akan menjelaskannya. Dan Dia menurunkan perintah berkenaan zakat dan tidak
menjelaskan perinciannya bahawa bagi setiap empat puluh dirham (zakatnya)
satu dirham sehingga Rasulullah S.A.W menjelaskan hal itu kepada mereka.
Dan Dia menurunkan perintah Haji tetapi Dia tidak berfirman," Tawaf
keliling Ka'abah tujuh kali," sehingga Rasulullah S.A.W menjelaskan
perkara itu kepada mereka. Dia ayat, " Taatilah Allah dan taatilah
Rasul dan Ulil Amri di antara kamu, " diturunkan dan ia diwahyukan
berkenaan dengan Ali, al-Hasan, al-Husayn dan Rasulullah S.A.W
menjelaskannya tentang Ali, "Maka barang siapa yang mengakui aku
mawlanya maka Ali adalah mawlanya juga." Dan dia S.A.W bersabda,"
Aku perintahkan kamu mentaati Allah Azawajalla supaya tidak memisahkan
kedua-duanya sehingga kedua-duanya menemuiku di al-Hawd ( telaga di
syurga), dan Dia memperkenankan permintaanku itu. Dan dia S.A.W
bersabda," Mereka tidak akan memesungkan kamu dari jalan petunjuk dan
tidak akan membawa kamu ke jalan kesesatan." Sekiranya Rasulullah
S.A.W mendiamkan diri tentang hal itu dan tidak menjelaskan siapa Ahlul
Bayt, sudah tentu ahli rumah sipolan dan sipolan akan menuntut hak
tersebut. Walau bagaimanapun Allah azawajalla telah menurunkan perkara itu
dalam KitabNya, mengesahkan sabda NabiNya:" Ahlul Bayt, sesungguhnya
Allah bermaksud hendak menghilangkan kamu dari kekotoran wahai Ahlul Bayt
dan membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya (Q33:33)," dan mereka
adalah Ali, al-Hasan, al-Huseinn dan Fatimah AS. Rasulullah S.A.W
memasukkan mereka dalam selimut di rumah Umm Salamah, kemudian berkata:
Allahumma, sesungguhnya bagi setiap nabi ada Ahlinya dan Thaqlnya dan
mereka ini adalah Ahli dan Thaqlku." Apabila Rasulullah
S.A.W wafat, Ali adalah awla kepada mereka kerana Rasulullah
S.A.W telah menjelaskan hal itu dengan menyuruhnya berdiri dan
mengangkat tangannya. Dan apabila Ali wafat, beliau tidak akan dan tidak
mungkin memasukkan anaknya Muhammad ibn Ali atau al-Abbas ibn Ali atau
anak-anaknya yang lain ke dalam (maksud) Ahlul Bayt. Jika beliau berbuat
demikian tentulah al-Hasan dan al-Husayn akan berkata: Allah Tabaraka Wa
Ta'ala menurunkan hal itu tentang kamu sebagaimana Dia menurunkan hal itu
tentang kami. Dia memerintahkan ketaatan kepada kami sebagaimana Dia perintahkan
ketaatan kepada kamu. Apabila Ali wafat, al-Hasan adalah orang yang paling
awla kerana umur beliau lebih tua. Di saat kewafatannya beliau tidak akan
dan tidak mungkin memasukkan anak-anaknya atau beliau berdalilkan ayat
Allah AZWJ," Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama
lain lebih berhak di dalam Kitab Allah. (Q:33;6)", menetapkan hak
Imamah untuk anak-anaknya. Jika beliau berbuat demikian al-Husayn akan
berkata," Allah telah memerintahkan ketaatan kepadaku sepertimana Dia
telah memerintahkan ketaatan kepada kamu dan bapa kami dan Rasulullah SAWA
menjelaskan kepada orang ramai tentang diri kami seperti juga dia
mejelaskan kepada mereka tentang diri kamu dan bapa kami dan Dia
menghilangkan kekotoran dari kami seperti juga Dia menghilangkan segala
kekotoran dari diri kamu dan bapa kami." Oleh itu apabila hal itu
sampai kepada al-Husayn, tidak ada seorangpun dari keluarganya yang
menuntut hak Imamah sebagaimana dia boleh menuntut hak tersebut daripada
saudaranya atau bapanya, jika mereka hendak memisahkan hak Imamah daripada
dirinya tetapi tidak berbuat demikian. Apabila saatnya sampai kepada
al-Husein dan hak Imamah terus berjalan menurut tafsiran ayat:" Dan
orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak di dalam
Kitab Allah." Kemudian ia dipegang oleh Ali ibn Husein selepas
al-Husein, dan selepas Ali ibn al-Husein dipegang pula oleh Muhammad ibn
Ali. Dan dia (Ja'far al-Sadiq AS) berkata," Kekotoran (al-rijsa) dalam
ayat ini membawa maksud ragu-ragu (shakk) dan demi Allah kami tidak pernah
ragu-ragu tentang Rabb kami."[Al-Kafi, Kitabul Hujjah, IV, Bab 64,
hadith 757-1]
Kasysyi
[Rijal, hlm.418] meriwayatkan ucapan Amr ibn Huraits di hadapan Imam Ja'far
al-Sadiq AS, berbunyi:
" Saya
hendak melukiskan Din (agama) saya dan apa yang saya percaya, supaya anda
dapat mengukuhkan iman saya. Dia saya adalah bahawa saya bersaksi bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul dan hambaNya. Saya
percaya bahawa kedatangan Hari Pengadilan itu adalah pasti, dan bahawa Allah
akan membangkitkan orang-orang yang ada di dalam kubur. Saya percaya ada
kewajipan solat, membayar zakat, puasa dalam bulan Ramadhan, dan kewajipan
menunaikan ibadah Haji ke Ka'abah bagi yang mampu. Saya bersaksi pada
wilayah (kepimpinan) Ali ibn Abi Talib, pemimpin kaum beriman (Amirul
Mu'minin) setelah Rasul Allah, semoga Allah melimpahkan rahmat atas
keduanya dan wilayah al-Hasan an al-Husayn, wilayah Ali ibn al-Husayn, dan
wilayah Muhammad al-Baqir AS, dan sesudahnya wilayah anda (Imam Ja'far al-Sadiq
AS). Saya bersaksi bahawa kalian adalah para Imam. Dalam Din ini saya hidup
dan dalam Din ini saya mati, serta inilah Din yang dengannya saya menyembah
Allah."
Mendengar
ini, Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata:
" Demi
Allah, ini sesungguhnya adalah Dinku dan Din ayah-datukku, yang menyembah
Allah secara terbuka dan rahsia, maka takutlah kepada Allah dan jagalah
lidahmu dari berkata yang bukan-bukan kecuali hal yang baik-baik."
Nas-nas
yang sahih dari Rasulullah S.A.W tentang hak Imamah khusus bagi 12 Imam Ahlul
Bayt AS adalah banyak.
Al-Qunduzi
al-Hanafi juga telah meriwayatkan hadith daripada Jabir, dia berkata:
"
Rasulullah S.A.W bersabda:" Akulah penghulu para Nabi dan Ali adalah
penghulu para wasi. Dan sesungguhnya para wasi selepasku ialah dua belas orang,
pertamanya Ali dan yang terakhir Qaim al-Mahdi. [Yanabi al-Mawaddah,
hlm.445]"
Muslim juga
meriwayatkan dalam di dalam hadithnya daripada Nabi S.A.W beliau bersabda:
"
Agama sentiasa teguh sehingga hari Qiamat dan dua belas khalifah memimpin
mereka, semuanya daripada Quraisy." [Sahih Muslim, hlm.79]
Al-Tirmidzi
di dalam Sunannya [Al-Sunan, II, hlm.110] mencatatkan hadith tersebut
dengan lafaz amir bukan khalifah. Al-Bukhari di dalam Sahihnya
meriwayatkannya daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi S.A.W bersabda:
"Selepasku
ialah dua belas amir. Maka beliau berucap dengan perkataan yang aku tidak
mendengarnya. Bapaku memberitahuku bahawa beliau bersabda: "Semuanya
daripada Quraisy." [Sahih, IV, hlm.120]
Sayyid
Hasyim al-Bahrani di dalam Ghayah al-Maram telah menjelaskan hadith dua
belas imam sebanyak enam puluh enam riwayat dengan sanad-sanadnya menurut
metodologi Ahlul Sunnah wal-Jamaah [Ghayah al-Maram, I, hlm.309].
Di antara
kitab-kitab yang menyebut hadith-hadith dua belas khalifah ialah Manaqib
Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad bin Hanbal, Syarh Nahj al-Balaghah karangan
Ibn Abil Hadid, Musnad Abi Ya'la al-Mansuli, al-Isabah Ibn Hajar
al-Asqalani, Dhakha'ir al-Uqba karangan Muhibuddin al-Tabari, Fusul
al-Muhimmah Ibn al-Sibagh al-Maliki dan lain-lain lagi.
Keperibadian
Imam Ja'far al-Sadiq AS
Rujukan
sumber sejarah menampilkan bahawa Imam Ja'far al-Sadiq AS sebagai seorang
tokoh yang sangat dihormati dan dimuliakan pada zamannya.
Menurut
Yakubi bahawa sudah menjadi kelaziman bagi ulama yang menyampaikan sesuatu
dari beliau mengatakan:
" Si
alim (Imam Ja'far al-Sadiq AS) memberitahu kita."
Bahkan para
pakar hukum Madinah iaitu Imam Malik bin Anas (95-179H) diriwayatkan pernah
berkata apabila ia mengutip hadith dari Imam Ja'far AS, beliau berkata:
" Si
Tsiqah Ja'far ibn Muhammad sendiri mengatakan kepadaku bahawa...."
Imam Malik
menceritakan peribadi Imam Ja'far al-Sadiq AS dalam kitab Tahdhib
al-Tahdhib, Jilid 2, hlm. 104:
" Aku
sering mengunjungi al-Sadiq. Aku tidak pernah menemui beliau kecuali dalam
salah satu daripada keadaan-keadaan ini: 1) beliau sedang solat, 2) beliau
sedang berpuasa, 3) beliau sedang membaca kitab suci al-Qur'an. Aku tidak
pernah melihat beliau meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi
S.A.W tanpa taharah. Beliau seorang yang paling bertaqwa, warak,
dan amat terpelajar selepas zaman Nabi Muhammad S.A.W. Tidak ada mata yang
pernah, tidak ada telinga yang pernah mendengar dan hati ini tidak pernah
terlintas akan seseorang yang lebih utama (afdhal) melebihi Ja'far bin
Muhammad dalam ibadah, kewarakan dan ilmu pengetahuannya."
Pada suatu
ketika khalifah al-Mansur Abbasiyyah ingin mengadakan perbahasan di antara
Abu Hanifah dengan Imam Ja'far al-Sadiq AS. Khalifah bertujuan untuk
menunjukkan kepada Abu Hanifah bahawa orang ramai sangat tertarik kepada
Imam Ja'far ibn Muhammad kerana ilmu pengetahuannya yan gluas itu. Khalifah
al-Mansur meminta Abu Hanifah menyediakan soalan-soalan yang sukar untuk
diajukan kepada Imam Ja'afar ibn Muhammad AS di dalam perbahasan itu nanti.
Sebenarnya al-Mansur telah merancang untuk menewaskan Imam Ja'far ibn
Muhammad AS dengan cara itu dan membuktikan kepada orang ramai bahawa
Ja'far ibn Muhammad tidaklah luas ilmunya. Menurut Abu Hanifah,"
Al-Mansur meminta aku datang ke istananya ketika aku tidak berada di Hirah.
Ketika aku masuk ke istananya, aku melihat Ja'far ibn Muhammad duduk di
sisi al-Mansur. Apabila aku memandang Ja'far ibn Muhammad, jantungku bergoncang
kuat, jasad gementar dan takut menyelubungi diriku terhadap Ja'far ibn
Muhammad lebih daripada al-Mansur. Selepas memberikan salam, Mansur
memintaku duduk dan beliau memperkenalkanku kepada Ja'far ibn Muhammad.
Kemudian al-Mansur memintaku mengemukakan soalan-soalan kepada Ja'far ibn
Muhammad. Aku pun mengemukakan soalan demi soalan dan beliau menjawab
soalan-soalan tersebut satu persatu, mengeluarkan bukan sahaja pendapat
ahli-ahli feqah Iraq dan Madinah tetapi juga mengemukakan pandangannya
sendiri sama ada beliau menerima atau menolak pendapat-pendapat orang lain
itu sehingga beliau selesai menjawab semua empat puluh soalan yang sukar
yang telah aku sediakan untuknya.
Abu Hanifah
berkata," Tidakkah telah aku katakan bahawa dalam soal ahkam, orang
yang paling alim dan mengetahui adalah orang yang mengetahui
pendapat-pendapat orang lain?" Lantaran selepas pengalaman itu, Abu
Hanifah berkata," Aku tidak pernah melihat seorang ahli fiqah yang
paling alim selain Ja'far ibn Muhammad."[Muwaffaq, Manaqib Abu Hanifah,
Jilid I, hlm. 173; Dzahabi, Tadhkiratul Huffadz, Jilid I, hlm. 157]
Zaid bin
Ali pernah berkata," Sepanjang masa Allah melalui seorang lelaki
daripada kami Ahlul Bayt tidak akan mengizinkan manusia memberikan alasan
yang mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui hukum-hukumNya. Di zaman
kami orang itu ialah anak saudaraku, Ja'far; sesiapa yang menentangnya
tidak akan mendapat petunjuk." [Manaqib Shar Ashub, Jilid 3, hlm. 147]
Yakubi
meriwayatkan Mansur al-Dawaniqi berkata," Ja'far adalah dari golongan
yang Allah firmankan: " Kemudian Kami wariskan Kitab al-Quran itu
kepada orang-orang dari hamba Kami yang telah Kami pilih (Surah
al-Fathir:32)" Ja'far adalah dari kalangan orang-orang yang telah
Allah pilih dan dari kalangan yang melebihi orang lain dalam kebaikannnya.
Dari keluarga Nabi SAWA sentiasa ada seorang ulama yang mengetahui
hadith-hadith Nabi secara keseluruhan dan mengajarnya kepada orang lain.
Pada zaman kami orang itu ialah Ja'far ibn Muhammad." [Tarikh Ya'qubi,
Jilid 3, hlm. 117]
Al-Syahrastani
mengungkapkan tentang Imam Ja'far al-Sadiq AS:
"
Ilmunya sangat luas menyangkut agama dan adab. Ia sangat menguasai
falsafah, memperolehi kesolehan besar di dunia dan sepenuhnya menjauhi hawa
nafsu. Ia hidup di Madinah cukup lama untuk memberi manfaat yang besara
pada aliran yang mengikutinya dan memberikan kepada sahabat-sahabatnya
kelebihannya dalam hal ilmu pengetahuan yang tersembunyi..." [Milal,
Jilid I, hlm. 166]
Syaikh
al-Mufid mencatatkan:
"
Al-Sadiq Ja'far ibn Muhammad ibn Ali ibn al-Husayn AS adalah khalifah
selepas bapanya Muhammad ibn Ali AS, wasinya, al-qaim bi-al-imammah selepas
Muhammad ibn Ali AS. Beliau seorang yang fadl di kalangan mereka, seorang
yang paling dimuliakan, tinggi kedudukannya sama ada di kalangan syiah dan
bukan syiah. Orang meriwayatkan daripadanya tentang hal ehwal agama. Ulama
terpelajar meriwayatkan daripadanya hal ehwal agama dan di kalangan Ahlul
Bayt beliaulah orang yang paling banyak meriwayatkan hadith-hadith. Malahan
dari kalangan keluarga Nabi S.A.W banyak meriwayatkan hadith-hadith dripada
beliau. Ahli-ahli hadith banyak meriwayatkan hadith-hadith yang disandarkan
kepadanya."
Imam Ja'far
al-Sadiq AS sering berkata:
"
Hadith-hadith yang aku keluarkan adalah hadith-hadith dari bapaku.
Hadith-hadith dri bapaku adalah dari datukku. Hadith-hadith dari datukku
adalah dari Ali ibn Abi Talib, Amirul Mu'minin. Hadith-hadith dari Amirul
Mu'minin Ali bin Abi Talib adalah hadith-hadith dari Rasulullah S.A.W dan
hadith-hadith dari Rasulullah S.A.W adalah wahyu Allah Azza Wa
Jalla."[Al-Kulaini,al-Kafi, Juzuk I, hadith 154-14]
Suasana
Politik Pada Zaman Imam Ja'far al-Sadiq AS
Setelah
wafat ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS, Imam Ja'far al-Sadiq
menggantikan ayahandanya sebagai Imam kaum Muslimin yang keenam sesuai
dengan hadith-hadith yang menetapkannya. Beliau menjadi Imam kaum Muslimin
dari tarikh 7 Zul Hijjah tahun 114 Hijrah hingga 15 Rejab 148 hijrah iaitu
selama kira-kira 34 tahun. Beliau menjadi Imam ketika berusia kira-kira 31
tahun dan wafat ketika umurnya mencapai 65 tahun. Dengan ini juga bermakna
Imam Ja'far al-Sadiq AS dapat hidup melalui zaman keruntuhan Bani Umayyah
dan permulaan Dinasti Bani Abbasiyyah.
Zaman
remajanya Imam Ja'far al-Sadiq AS melalui zaman khalifah Bani Umayyah yang
terdiri daripada al-Walid bin Abdul Malik (86-96H), Sulaiman bin Abdul
Malik (96-99H), Umar bin Abdul Aziz 96-101H), dan di zaman awal dewasannya
Imam al-Sadiq AS melalui zaman Yazid bin Abdul Malik (101-105H), dan di
zaman beliau AS menjadi Imam kaum Muslimin, beliau AS melalui zaman
pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik (105-125H), Al-Walid bin Yazid
(125-126H), Yazid bin Al-Walid (126H), Ibrahim bin Al-Walid (126H), dan
Marwan bin Muhammad (127-132H). Seterusnya Imam Ja'far al-Sadiq AS melalui
pula zaman awal pemerintahan Bani Abbasiyyah iaitu zaman khalifah al-Saffah
dan al-Mansur (136-158H).
Kezaliman
Khalifah-khalifah Bani Umayyah
Al-Walid
bin Abdul Malik adalah orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan datuk
Imam Ja'far al-Sadiq AS, Imam Ali Zainal Abidin AS pada tahun 95 Hijrah.
Al-Walid berasa cemas melihat kedudukan Imam Ali Zainal Abidin AS yang
semakin tinggi dan peribadinya yang semakin dicintai rakyat. Al-Walid
sangat khuatir kedudukan Imam Ali Zainal Abidin yang akan mengancam
kekuasaannya. Maka pada tahun 95H, dengan perantaraan saudaranya Sulaiman
bin Abdul Malik, ia mengutuskan seseorang untuk meracunnya secara sulit.
Al-Masudi
meriwayatkan:" Walid adalah penguasa yang zalim. Bapanya mencadangkan
supaya al-Walid memuliakan Hajjaj bin Yusuf; memakai kulit harimau bintang
dan bersedia dengan pedang untuk membunuh sesiapa sahaja yang
menentangnya." Al-Walid mematuhi cadangan bapanya itu. Beliau seperti
juga bapanya membiarkan al-Hajjaj bertindak sesuka hatinya, membunuh dan
menyeksa penentang-penentangnya. Al-Hajjaj membunuh Sa'id bin Jubayr pada
zaman al-Walid. Tersebut dalam kitab Tarikh Ibn Jawzi bahawa penjara
al-Hajjaj hanya terdiri daripada dinding sahaja tanpa bumbung untuk
melindungi banduan-banduan daripada panas terik dan dingin. Masudi menulis:
" Bilangan orang yang dibunuh oleh al-Hajjaj ialah sebanyak kira-kira
120,000 orang tidak termasuk bilangan yang dibunuh dalam peperangan. Ketika
beliau meninggal dunia tedapat kira-kira 50,000 orang lelaki dan 30,000
orang perempuan dalam penjaranya dan 16,000 orang perempuan daripada 30,000
orang tadi dalam keadaan tidak berpakaian." Inilah panglima yang
dilantik oleh Abdul Malik bin Marwan bapa al-Walid dan al-Hajjaj inilah
yang dimuliakan oleh al-Walid bin Abdul Malik.
Apabila
Hajjaj mencapai usia 54 tahun beliau menderita sakit perut yang berlangsung
selama 15 hari. Dalam tempoh tersebut dia menyedari kematian sudah
menghampirinya. Tabib yang dipanggil untuk merawarnya mengikat secebis
daging dan dimasukkan ke dalam tekaknya. Apabila dikeluarkan daging itu,
tabib itu mendapati sejumlah ulat yang telah melekat kepadanya. Dalam
tempoh penderitaan itu, al-Hajjaj juga mengalami penyakit kesejukan dan
mengigil. Al-Hajjaj diletakkan di sisi unggun api yang besar yang mampu membakar
kulitnya tetapi dia tidak merasakannya. Al-Hajjaj menghubungi Hasan
al-Basri. Hasan al-Basri berkata:" Aku telah menjelaskan kepada kamu
supaya jangan mencabul hak hamba-hamba Allah tetapi kamu telah melakukan
lebih dahsyat daripada itu." Hajjaj berkata:" Aku tidak meminta
kamu mengubatiku tetapi aku hanya kamu berbuat sesuatu supaya aku tidak
mati secepat mungkin." Al-Hajjaj akhirnya mati juga. Ketika berita
kematiannya sampai kepada Hasan al-Basri, beliau lantas bersujud syukur
kepada Allah SWT dan berkata:" Wahai Tuhan, sebagaimana Engkau telah
mencabut nyawanya maka hentikanlah dasar-dasarnya yang cabul itu."
Hajjaj di kuburkan di Wasit. Al-Walid mengatus majlis perkabungan ke atas
kematiannya. Allah SWT telah menghina kematian Hajjaj bin Yusuf tetapi
al-Walid bin Abdul Malik mahu memuliakannya.
Al-Walid
bin Abdul Malik meninggal dunia selepas memerintah selama 9 tahun 1 bulan
dan jawatan khalifah kemudian disandang pula oleh saudaranya Sulaiman bin
Abdul Malik. Pada masa ini usia Imam Ja'far AS kira-kira 13 tahun. Jawatan
Imam kaum Muslimin di pegang oleh ayahandanya Imam Muhammad al-Baqir AS. Di
zaman pemerintahan Sulaiman (96-99H), tidak ada apa-apa pembangunan dan
kebajikan yang dilakukannya selain daripada membina istana-istana yang
cantik untuk mengisi wanita dan jariah yang cantik-cantik bagi keperluan
peribadinya. Ahli sejarah tidak begitu banyak mencatat riwayat hidupnya
selain daripada beberapa peristiwa kejam yang dilakukannya ke atas
pemimpin-pemimpin Islam yang telah berjasa di zaman pemerintahan
khalifah-khalifah sebelumnya. Sulaiman bertanggugjawab mengbunuh Muhammad
bin Qasim yang telah membuka Sind di India. Beliau turut membunuh Qutaibah
bin Muslim yang telah membuka wilayah Khurasan dan sekitarnya. Beliau juga
membunuh Musa bin Nusair yang telah membuka Sepanyol. Faktor utama
pembunuhan-pembunuhan itu ialah iri hati dan curiga terhadap
panglima-panglima itu yang dijangka akana menggulingkannya daripada takhta
kerajaan.
Sulaiman
bin Abdul Malik meninggal dunia pada hari Jumaat 20 Safar 99 Hijrah dan
pada hari yang sama Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah baru Bani
Umaiyyah yang kelapan. Usia Imam Ja'far al-Sadiq AS ketika itu kira-kira 16
tahun. Khalifah Umar bin Abdul Aziz dibesarkan dalam keluarga Bani Umaiyyah
yang mencerca Imam Ali AS di atas mimbar pada hari Jumaat. Namun demikian
gurunya yang bernama Ubaydullah bin Abd bin Utbah bin Mas'ud adalah
pengikut setia Imam Ali AS dan Ahlul Bayt AS tetapi beliau tidak
mengisytiharkan pendiriannya itu secara terang-terangan kerana khuatir akan
keselamatan nyawanya. Ketika Umar masih kecil, Ubaydullah mendapat
kesempatan menjelaskan Umar tentang kebesaran dan kemuliaan Imam Ali AS.
Kisah bagaimana cercaan terhadap Imam Ali AS dihentikan oleh Umar bin Abdul
Aziz diceritakan oleh Ibn Athir dan Ibn Abil Hadid seperti berikut:
" Aku
(Umar bin Abdul Aziz) belajar Qur'an daripada seorang keturunan Atbah bin
Masud. Pada suatu hari beliau berjalan melintasi aku ketika aku sedang
bermain dengan kawan-kawanku dan mencerca Saidina Ali. Beliau nampak tidak
senang apabila menyaksikan hal ini dan terus ke masjid. Aku mengekori
beliau ke masjid untuk mempelajari al-Qur'an daripadanya. Guruku tidak
memperdulikanku dan memanjangkan solatnya dan nampaknya beliau tidak
menyukai perbuatan aku tadi. Aku bertanya kepadanya mengapa beliau tidak
menyukai perbuatan aku itu. Beliau bertanya kepadaku:" Adakah kamu
juga mencerca Saidina Ali selama ini?" Aku mengiyakannya. Beliau
berkata:" Dari mana kamu dapat tahu Saidina Ali dibenci Allah SWT? Aku
berkata: " Adakah Ali salah seorang ahli Badar?" Beliau
berkata:" Kejayaan Perang Badar adalah untuk Ali." Aku
berkata:" Aku tidak akan mencerca Saidina Ali pada masa akan
datang." Guruku meminta aku berjanji bahawa aku tidak akan melakukan
perbuatan mencerca Saidina Ali pada masa akan datang dan aku pun memenuhi
permintaannya itu."
Umar bin
Abdul Aziz selanjutnya berkata:" pada Hari Jumaat ayahku berdiri di
atas mimbar di Madinah menyampaikan khutbah dan berucap dengan fasihnya.
Walau bagaimanapun apabila dia sampai kepada kata-kata cercaan kepada
Saidina Ali dia menjadi tergagap-gagap, rendah suara dan mendapati sukar
untuk menyatakan cercaan itu. Aku memikirkan hal itu. Pada suatu hari aku
bertanya kepada ayahku:" Ayah seorang pemidato yang fasih."
Ayahku berkata:" Engkau menyedari perkara itu?" Aku
menjawab:" Ya." Ayahku kemudian berkata:" Jika orang-orang
Syria dan lain-lain mengetahui kebaikan-kebaikan Ali, mereka tidak akan
mentaati kita sebaliknya mereka akan menyebelahi keturunan Ali." Aku
ingat kata-kata ini dan kata-kata guruku semasa aku kecil dulu dan aku
berjanji kepada Allah Azawajalla seandainya aku menduduki jawatan khalifah,
aku akan menghentikan cercaan terhadap Saidina Ali."
Umar bin
Abdul Aziz menunaikan janjinya dan melarang cercaan terhadap Saidina Ali di
atas mimbar dan memerintahkan ayat berikut dibaca bagi menggantikan cercaan
tersebut:" Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat
kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Dia melarang dari perbuatan
keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu
dapat mengambil pelajaran." (Q16:90).
Beliau
mengirim arahan tersebut ke seluruh pelusuk kota. Tindakannya ini di ambil
sebagai satu tanggungjawab dan seterusnya menjadi amalan dalam masyarakat.
Orang ramai memuji Ibn Abdul Aziz kerana tindakan beliau itu.
Umar juga
bertanggungjawab memulangkan Tanah Fadak kepada keturunan Fatimah AS.
Beliau menyerahkan Tanah Fadak kepada Imam Muhammad al-Baqir AS.
Tindakannya itu mendapat kritikan sebahagian Quraish dan orang-orang Syria
kerana pada tanggapan mereka Umar telah menyalahi keputusan Abu Bakar dan
Umar al-Khattab. Umar bin Abdul Aziz berkata: " Tuntutan Fatimah ke
atas Tanah Fadak adalah berasas dan tanah itu adalah miliknya. Fatimah
sebagai penghulu wanita di syurga sudah tentu tidak akan membuat tuntutan
palsu yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W. Oleh itu dengan tindakan
ini aku mengharapkan taqarrub kepada Allah dan NabiNya dan aku mengharapkan
syufaat dari Fatimah, Imam Hasan dan Imam Husayn. Seandainya aku berada di
pihak Abu Bakar, aku akan menerima permintaan Fatimah dan tidak akan
menuduhnya pembohong."
Umar
meninggal dunia pada tahun 101 Hijrah. Kemudian jawatan khalifah jatuh ke
tangan Yazid bin Abdul Malik. Yazid memegang tampuk pemerintahan selama 5
tahun. Sementara itu ketika itu, usia Imam Ja'far al-Sadiq AS kira-kira 18
tahun. Berbeza dengan Umar bin Abdul Aziz yang adil, sebaliknya Yazid
melakukan tindakan-tindakan yang sebaliknya. Beliau menulis surat kepada
gabenor-gabenornya supaya kembali ke keadaan asal. Yazid merampas kembali
Tanah Fadak. Seperti juga Yazid bin Muawiyah, Yazid bin Abdul Malik gemar
kepada wanita-wanita dan minum arak. Ibn Abdul Rabbih meriwayatkan bahawa
Abu Hamzah melukiskan perwatakan Yazid seperti berikut:" Dia meletakkan
Hubabah di sebelah kanannya dan Salamah di sebelah kirinya. Kemudian dia
meminta Hubabah menyanyikan lagu untuknya dan Salamah menuangkan arak
untuknya. Apabila dia mabuk dia gemar mengoyakkan pakaiannya dan
berkata:" Aku mahu terbang. Terbang ke neraka yang menjadi persemadian
si penjenayah."
Yazid
meninggal dunia pada tahun 105 Hijrah dan digantikan pula oleh Hisyam bin
Abdul Malik. Beliau menjalankan dasar yang kejam kepada para pengikut Ahlul
Bayt AS. Hisyam memerintahkan golongan syiah dihancurkan. Ramai yang
dimasukkkan ke dalam penjara dan juga dibunuh. Beliau merobohkan rumah
Kumayt, seorang penyair yang menyokong Ahlul Bayt. Beliau menulis kepada
Khalid bin Abdul Malik, gabenor Madinah supaya memenjarakan keturunan Bani
Hasyim dan melarang mereka meninggalkan kota. Imam Muhamad al-Baqir wafat
pada tahun 114 Hijrah akibat diracun oleh Ibrahim ibn Walid ibn Abdullah,
anak saudara Hisyam bin Abdul Malik. Pada tahun 121 Hijrah Zaid bin Ali
Zainal Abidin AS melakukan gerakan jihad menentang rejim Hisyam yang zalim
itu. Walau bagaimanapun Zaid terbunuh bersama ramai pengikut-pengikutnya.
Berita syahidnya Zaid disampaikan kepada Imam Ja'far al-Sadiq AS. Imam amat
dukacita apabila mengetahui kejadian tersebut. Imam segera mengirimkan wang
seribu dinar kepada keluarga pengikut-pengikut Zaid yang terkorban.
Selepas
peristiwa penentangan Zaid, Hisyam memerintahkan agar seluruh keluarga Abu
Talib, terutamanya para pemukanya harus menjauhkan diri dari sebarang
pemberontakan dan mengutuk para pemimpinnya. Di antara mereka ialah
Abdullah bin Muawiyah dan Abdullah al-Mahdi tetapi nama Imam Ja'far
al-Sadiq AS tidak disebut. Putra Zaid bernama Yahya meneruskan perjuangan
ayahnya tetapi setelah tiga tahun bergiat di Khurasan, usaha Yahya itu
gagal seperti juga ayahnya. Beliau terkorban ketika menentang khalifah
Walid bin Yazid (125-126 Hijrah).
Setelah
kematian al-Walid bin Yazid pada tahun 126 Hijrah, Abdullah al-Mahdi
bersama kelompoknya memutuskan untuk bertindak. Pada waktu menunaikan Haji
di Mekah, Abdullah al-Mahdi mengundang kerabatnya dan para pengikutnya
untuk membai'ah putranya Muhammad bin Abdullah. Pembai'ahan itu pertama
kali dilakukan di Masjidil Haram dan kemudian di al-Abwa dekat Madinah.
Menurut Abu Faraj, di antara yang mengangkat sumpah adalah tiga Abbasiyyah
bersaudara iatu Ibrahim al-Imam, Abul Abbas al-Saffah dan Abu Ja'far
al-Mansur serta anggota lain dari keluarga Abbasiyyah. Walau bagaimanapun,
Al-Tabari hanya menyebut nama Abu Ja'far al-Mansur sahaja yang mengangkat
sumpah membaiah Muhammad bin Abdullah.
Pada tahun
129 Hijrah, sepucuk surat yang dikirimkan oleh Ibrahim bin Muhammad kepada
Abu Muslim al-Khurasani di Khurasan jatuh ke tangan Marwan bin Muhammad
(127-132H). Surat itu menekankan supaya bersikap keras terhadap sesiapa
sahaja yang didapati menentang atau cuba mematahkan gerakan mendirikan
Kerajaan Abbasiyyah. Walau bagaimanapun Ibrahim dapat ditangkap dan
kemudian diseret ke Damsyik dan seterusnya di hantar ke Harran untuk
dipenjarakan. Ibrahim al-Imam meninggal dunia dalam penjara. Sebelum meninggal
dunia, beliau sempat mewasiatkan supaya jawatan kepimpinan diserahkan
kepada saudaranya Abdullah Abu al-Abbas. Kufah hendaklah dijadikan pusat
gerakan mereka. Beliau meminta supaya Abu al-Abbas bersama dengan
sebilangan keluarga mereka berangkat ke Kufah. Justeru, Abu al-Abbas, Abu
Ja'far Abdullah dan empat belas keluarga itu meninggalkan al-Humaimah
menuju Kufah.
Wakil
Abbasiyyah di Kufah ialah Abu Salamah al-Khallal. Pada saat ini Abu Salamah
memikirkan untuk membatalkan baiahnya terhadap Abbasiyyah kerana beliau
berasa terikat kesetiaannya kepada Ibrahim al-Imam dan bukan kepada
saudaranya Abu al-Abbas. Menurut al-Tabari, apabila kematian Ibrahim
al-Imam sampai ke Kufah, Abu Salamah berniat untuk mendirikan Imamah
Alawiyah. Dikatakan beliau menulis surat kepada Imam Ja'far al-Sadiq AS,
Abdullah al-Mahdi dan Umar bin Ali Zainal Abidin, meminta mereka datang ke
Kufah dan beliau akan mendokong Imamah mereka. Imam Ja'far al-Sadiq AS
menolak tawaran tersebut. Ketika utusan itu menyerahkan surat tersebut kepada
Imam al-Sadiq AS, Imam meminta lampu lalu membakar surat tersebut dan
berkata kepada pemgirim surat itu:" Katakan kepada majikanmu itu apa
yang telah kamu saksikan." Abdullah al-Mahdi meneriwa tawaran itu.
Lalu Imam Ja'far al-Sadiq AS dilaporkan memperingati Abdullah dengan nada
keras supaya " tidak melibatkan dan membahayakan jiwanya dan anaknya
dalam politik itu kerana Abu Salamah bukan syiah kita dan orang Khurasan
bukan pengikut kita."
Pendirian
Imam J'afar al-Sadiq AS tentang perjuangan tersebut adalah jelas dalam satu
pertemuan di Abwa. Imam al-Sadiq AS terang-terang menolak dakwaan
"al-Mahdi" itu. Malahan Imam al-Sadiq AS meramalkan kematian dua
bersaudara itu (Muhammad bin Abdullah dan Ibrahim) di tangan al-Mansur.
Syeikh
al-Mufid telah meriwayatkan peristiwa pertemuan di Abwa dan penolakan Imam
Ja'far al-Sadiq AS seperti berikut:" Sekumpulan Bani Hasyim bertemu di
Abwa. Di antara mereka ialah Ibrahim bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin
Abbas dan Abu Ja'far al-Mansur, Salih bin Ali, Abdullah bin al-Hasan dan
dua orang anaknya Muhammad dan Ibrahim dan Muhammad bin Abdullah in Amr bi
Uthman. Salih bin Ali berkata kepada mereka:" Kamu semua mengetahui
bahawa kamu semua adalah orang-orang yang mereka hormati dan Allah telah
membawa kamu semua berkumpul di sini. Justeru, berilah baiah kepada salah
seorang daripada kamu dengan sepenuh jiwa kamu. Ikatkan diri kamu supaya
Allah akan memberikan kemenangan kerana Dia sebaik-baik pemberi
kemenangan."
Abdullah
bin Hasan memuji-muji Allah dan kemudian berkata:" Kamu semua tahu
bahawa anakku adalah al-Mahdi. Lantaran itu marilah kita semua memberi
baiah kepadanya."
"Mengapa
kamu semua membohongi diri kamu sendiri?" Tanya Abu Ja'far al-Mansur.
Demi Allah kamu semua mengetahui bahawa tidak ada sesiapa yang akan dikuti
oleh orang ramai selain orang ini," maksudnya Muhammad bin Abdullah.
"Benar," Jawab mereka, "Inilah orang yang kami terima."
Oleh itu mereka semua memberikan baiah kepada Muhammad.
Ja'far bin
Muhamad AS tiba dan Abdullah bin al-Hasan meminta Imam J'afar al-Sadiq AS
duduk di sisinya. Abdullah mengulangi apa yang telah dikatakannya sebelum
ini. Namun demikian, Ja'far al-Sadiq AS berkata: " Jangan lakukan
perkara itu. Masa datangnya al-Mahdi belum tiba. Jika kamu (Abdullah)
menganggap anakmu Mahdi, sebenarnya bukan, ataupun masa ini bukannya masa
al-Mahdi. Hal ini kerana kamu dan saudara tua kami yang kami hormati, kami
tidak akan mengabaikan kamu semata-mata untuk kepentinga baijah kepada anak
kamu, walaupun sekiranya kamu hanya mahu bangkit demi kerana kemarahan di
jalan Allah, amar ma'aruf da nahi mungkar."
Abdullah
menjadi marah dan berkata:" Aku faham pertentangan dalam kata-kata
anda. Demi Allah, Allah tidak akan memberikan anda ilmu ghaib tetapi itu
hanyalah semata-mata kerana rasa irihati kepada abakku yang menyebabkan
anda bersikap demikian.
"Demi
Allah, bukan itu tujuanku," Jawab Imam Ja'far al-Sadiq AS, "
tetapi orang ini saudaranya dan anak-anaknya." Kemudian beliau
menyentuh belakang tubuh Abu al-Abbas dan memegang belakang tbuh Abdullah b
al-Hasan. "Demi Allah, kekhalifahan bukan untuk anda atau kedua anak
anda tetapi ia adalah untuk mereka (Abbasiyyah). Kedua anak anda akan
terbunuh." Beliau AS berdiri dan bersandar di bahu Abd al-Aziz bin
Imran al-Zuhri, beliau AS menyambung," Tidakkah anda melihat pemilik
jubah kuning?" (maksudnya al-Mansur). "Ia," dia menjawab.
"Demi Allah," beliau AS berkata," kami melihat pada suatu
hari dia (Abu Ja'far al-Mansur) akan membunuhnya (Muhammad bin
Abdullah)." "Adakah di akan membunuh Muhammad?" Tanya Abdul Aziz
kepada Imam al-Sadiq AS. "Benar," beliau AS menjawab. Abdul Aziz
melaporkan:" Aku berkata kepada diriku: "Demi Tuhan Ka'abah, dia
irihati kepadanya." Tetapi, tidak lama kemudian, demi Allah, aku belum
lagi kembali ke rahmatullah dan aku menyaksikan (Abu Ja'far al-Mansur)
membunuh mereka berdua."
Apabila
J'afar al-Sadiq AS berkata demikian, orang ramai pun bersurai. Abd al-Samad
dan Abu Ja'far mengekori al-Sadiq AS dan bertanya," Abd Allah, adakah
anda benar-benar bermaksud demikian?" "Ia," jawab beliau,"
Demi Allah aku benar-benar menyatakan hal itu dan aku mengetahuinya."
Perlantikan
Muhammad bin Abdullah al-Mahdi sebagai khalifah bayangan yang pertama
adalah suatu helah politik golongan Abbasiyyah semata-mata untuk menarik
sokongan orang-orang Alawiyyah. Apabila pemerintah Bani Umayyah terakhir
dikalahkan pada tahun 132 Hijrah, Abu Salamah berhasrat untuk menegakkan
kerajaan Alawiyah dan menyingkirkan golongan Abbasiyyah. Golongan
Abbasiyyah lantas segera mengisytiharkan Abdullah Abu al-Abbas sebagai
khalifah yang pertama. Dengan perlantikan itu jawatan khalifah telah tersingkir
dari golongan Alawiyyah.
Pemerintahan
Bani Abbasiyyah
Abu
al-Abbas dilantik sebagai khalifah pada tahun 132 Hijrah. Abu al-Abbas
menyerahkan tugas menghapuskan Marwan bin Muhammad, pemerintah Bani Umayyah
terakhir kepada bapa saudaranya Abdullah bin Ali. Setelah pertempuran yang
hebat d tebing Sungai Zab, anak Sungai Tigris, Dinasti Umaiyyah mengalami
kekalahan. Marwan melarikan diri ke Palestin dan kemudian ke Mesir. Di sana
beliau dibunuh pada 27 Dzul Hijjah 132 Hijrah.
Abu Salamah
kemudian turut dibunuh oleh khalifah Abu Abbas al-Saffah kerana sikap
pro-Alawiyyahnya.
Pemerintahan
al-Saffah berlangsung selama empat tahun. Pada zamannya, ramai penyokong
Bani Umaiyyah dibunuh. Pembunuhan berlaku di kota-kota besar seperti Mekah,
Madinah, Kufah dan lain-lain lagi. Imam Ja'far al-Sadiq AS pula di bawa ke
Hirah, Iraq. Al-Saffah memaksa Imam al-Sadiq AS tinggal di Hirah di bawah
pengawasannya. Tidak lama kemudian Imam al-Sadiq AS dibenarkan kembali ke
Madinah.
Selepas
kematian al-Saffah, Abu Ja'far bin Muhammad al-Mansur pula menaiki takhta.
Beliau menahan Imam Ja'fart al-Sadiq AS dan membawanya ke Samarra dan
akhirnya dizinkan kembali ke Madinah.
Muhammad
al-Nafs al-Zakiyyah menolak baiah kepada al-Manusr. Akibatnya, pada tahun
140 Hijrah, al-Mansur memutuskan memaksa al-Nas al-Zakiyyah dan saudaranya
Ibrahim membaiahnya. Perintah dikeluarkan untuk menangkap Abdullah al-Mahdi
dan pemuka-pemuka Alawiyyah yang lain. Gerakan al-Nafs al-Zakiyyah mendapat
sokongan ahli Hadith Madinah. Malik bin Anas memberi fatwa bahawa baiah
yang diberikan kepada al-Mansur adalah tidak sah kerana ia dilakukan secara
paksa. Pertempuran berlaku di antara al-Nafs al-Zakiyyah dan tentera
al-Mansur pada tahun 145 Hijrah. Hasilnya pasukan al-Nafs al-Zakiyyah
ditumpaskan dan Muhammad sendiri terbunuh. Selepas kegagalan al-Nafs
al-Zakiyyah, saudaranya Ibrahim mengumpulkan penyokong-penyokongnya di
Basrah. Masyarakat Kufah dan Basrah menyokong gerakan yang dipimpin oleh
Ibrahim itu. Abu Hanifah yang pada suatu ketika dulu mengeluarkan fatwa
menyokong gerakan Zaid bin Ali menentang khalifah Hisham bin Abdul Malik,
kini turut mengeluarkan fatwa yang menyokong perjuangan Ibrahim menentang
al-Mansur. Walau bagaimanapun gerakan Ibrahim turut menemui kegagalan.
Ibrahim sendiri terbunuh bersama-sama pengikut-pengikutnya.
Pada zaman
pemerintahan al-Mansur, Imam Ja'far al-Sadiq AS mengarahkan para
pengikutnya berdiam diri dan menunjukkan sikap patuh kepada al-Mansur. Imam
AS berpesan:" Hendaklah kamu semua berdiam diri dan menunjukkan sikap
patuh kerana kamu sedang berada di bawah penguasaan seorang raja yang mempunyai
tipu daya yang kerananya gunung pun boleh runtuh."
Walau
bagaimanapun, al-Mansur tidak berpuas hati dengan sikap Imam AS dan para
pengikutnya itu kerana mereka semua menganggap Imam Ja'far al-Sadiq AS
sebagai Imam kaum Muslimin dan bererti kedudukannya lebih tinggi daripada
al-Mansur. Muhammad Asqanturi berkata:" Aku pergi menemui al-Mansur
dan mendapati beliau sedang berfikir. Aku bertanya kepada beliau mengapa
beliau murung demikian?" Mansur menjawab:" Aku telah membunuh
lebih daripada seribu keturunan anak perempuan Muhammad tetapi aku masih
belum membunuh pemimpin mereka." Mansur berkata:" Aku tahu engkau
menganggapnya sebagai Imam dan percaya dia itu adalah Imam kepada diriku,
Imam engkau dan Imam seluruh dunia. Walau bagaimanapun aku harus menemuinya
sekarang."
Riwayat di
atas menunjukkan dendam al-Mansur kepada Imam J'afar al-Sadiq AS.
Lebih-lebih lagi ajaran Imam Ja'far al-Sadiq AS telah berkembang pesat pada
ketika itu dan dikatakan seorang daripada wazir al-Mansur yang bernama
Rabi' adalah seorang syiah. Di dalam al-Iqdul Farid diriwayatkan bahawa
pada suatu ketika al-Mansur sampai ke Madinah dalam perjalanannya untuk ke
Mekah, beliau meminta Rabi' mengundang Imam Ja'far al-Sadiq AS menemuinya.
Beliau berkata," Semoga Allah membunuhku jika aku tidak membunuhnya."
Rabi' sengaja melambat-lambatkan undangan itu tetapi akhirnya terpaksa
menunaikan perintah atas perintah al-Mansur. Kemudian beliau menjemput Imam
untuk bertemu dengan al-Mansur. Ketika Imam sampai, mulutnya seperti
mengucapkan sesuatu. Beliau mendekati al-Mansur dan memberikan salam.
Al-Mansur berkata: " Wahai Allah! Semoga engkau dihinakan. Engkau
telah membuat angkara di wilayah-wilayahku. Semoga Allah membunuhku jika
aku tidak membunuh engkau."
Imam Ja'far
al-Sadiq AS berkata:" Nabi Sulaiman mendapat takhta kerajaan dan
beliau bersyukur kepada Allah. Nabi Ayyub mengalami penderitaan tetapi
beliau menghadapinya dengan tabah. Nabi Yusuf ditindas dan beliau memaafkan
si penindas. Kamu menggantikan mereka dan amat patut kamu mengikuti jejak mereka."
Al-Mansur
kemudian mengangkat kepalanya lalu berkata," Kamu lebih dekat kepada
kami dan kerabat kami yang paling hampir daripada suku-suku lain."
Beliau lalu memeluk Imam AS dan mendudukkannya di atas permaidani dan
memulakan percakapan. Selepas itu beliau memerintahkan," Bawakan
hadiah dan pakaian untuk Sadiq..."
Apabila
Imam yang suci itu keluar dari situ, Rabi mengekori dari belakang dan
berkata," Selama tiga hari saya mempertahankan anda dan melakukan apa
sahaja untuk menyelamatkan anda. Apabila anda menemui al-Mansur aku melihat
bibirmu bergerak-gerak dan tiba-tiba dia tidak dapat berbuat apa-apa yang
menyakitimu. Sebagai seorang yang bekerja untuk raja, saya amat memerlukan
doa yang anda bacakan itu. Imam berkata," Katakan: Wahai Allah! Lindungi
aku dengan mataMu yang tidak tidur, peliharakan diriku dengan kekuasaaanMu
yang tidak akan menjadi sasaran kebinasaan, yang memungkinkan diriku tidak
binasa, kerana Engkaulah segala harapanku yang ditujukan. Wahai Tuhanku!
Ampunkan diriku, justeru Engkau telah mengurniakan diriku
pemberian-pemberian yang melimpah, yang aku tidak dapat membalasnya,
walaupun demikian Engkau tetap tidak menarik balik segala
pemberian-pemberian itu dan banyaklah bencana yang menimpa diriku yang aku
tertakluk olehMu, tetapi aku kurang kesabaran. Wahai Tuhan! Peliharakanlah
diriku dengan keselamatan daripda tipudaya dengan bantuanMu dan kekuasaanMu
dan aku memohon perlindungan dalam rahmatMu daripada kejahatan."
Syaikh
al-Mufid meriwayatkan kisah yang sama dalam versi yang lebih panjang
seperti berikut:
"
Al-Mansur memerintahkan Rabi' membawa Abu Abdillah Ja'far AS menemuinya.
Dia (Rabi') membawa Imam Ja'far AS mengadap al-Mansur. Apabila al-Mansur
melihatnya, dia berkata," Semoga Allah membunuhku, jika aku tidak
membunuh kamu. Kamu cuba mengancam kekuasaanku dan kamu cuba
mengkhianatiku."
" Demi
Allah, tidak demikian, " balas Abd Abdillah AS.
" Aku
juga tidak bermaksud demikian. Jika anda telah diberitahu demikian, itu
adalah satu pembohongan. Walau bagaimanapun, jika memang aku telah
melakukan demikian, Nabi Yusuf telah dilayan dengan buruk dan beliau
memaafkannya, Nabi Ayub menderita dan beliau bersabar, dan Nabi Sulaiman
menerima anugerah kekayaan dan beliau bersyukur. Orang-orang ini adalah
Nabi-nabi dan keturunanmu bersambung dengan mereka."
"
Memang benar, " balas al-Mansur. " Marilah ke sini."
Imam bangun
dan duduk di sisi al-Mansur dan kemudian al-Mansur menyambung:"
Sipolan bin sipolan telah melaporkan kepadaku tentang apa yang telah anda
katakan."
" Bawa
dia ke sini Amirul Mukminin," Imam menjawab," supaya dia boleh
berhujah denganku tentang perkara itu."
Lelaki
berkenaan dibawa ke hadapan mereka dan al-Mansur mengemuka soalan
kepadanya:
"
Adakah engkau benar-benar mendengar apa yang telah engkau laporkan kepadaku
tentang Ja'far?"
Ia,
benar," lelaki itu menjawab.
"
Bersumpahlah," kata Abd Abdillah AS.
"
Adakah engkau sanggup bersumpah untuk itu?" kata al-Mansur.
" Aku
bersumpah," jawab lelaki itu.
"
Katakan: Aku berlepas diri dari kekuasaan Allah dan kekuatanNya dan aku
berlindung kepada kekuasaan dan kekuatanku sendiri jika aku berbohong
tentang Ja'far yang telah melakukan hal-hal tersebut dan telah berkata
seperti yang telah aku laporkan," kata Abd Abdillah.
Lelaki itu
diam sejenak dan kemudian melafazkan sumpah sepertimana yang diajarkan oleh
Imam Ja'far AS tetapi tidak sampai beberapa detik kemudian, kakinya menjadi
kaku (mati).
"
Heret dia keluar, semoga Allah melaknatinya," seru Abu Ja'far
al-Mansur.
Al-Rabi'
melaporkan:" Apabila Ja'far bin Muhammad AS menemui al-Mansur aku
menyaksikan kedua bibirnya bergerak-gerak. Apabila kedua bibirnya
digerakkan, kemarahan al-Mansur menjadi reda, justeru, apabila Imam Ja'far
AS mendekatinya, beliau (al-Mansur) kelihatan menyukainya. Apabila Abd
Abdillah AS keluar dari majlis itu, aku mengekorinya dari belakang dan
berkata kepadanya:" Orang tadi (al-Mansur) adalah orang yang paling
marah terhadap anda. Apabila anda masuk ke dalam, anda mengerak-gerakkan
kedua bibir anda dan ketika kedua bibir anda bergerak-gerak, marahnya
menjadi reda. Dengan perkataan apakah anda mengerakkan kedua bibir anda
tadi?"
"
Dengan doa datukku al-Husayn bin Ali AS," beliau menjawab.
"
Semoga diriku menjadi tebusanmu," aku berkata," Apakah doa
itu?"
Beliau
memberitahuku:
"
Wahai Yang Memeliharaku di saat kesusahan, Wahai Penolongku ketika
menghadapi bencana, lindungi diriku dengan mataMu yang tidak tidur,
lindungi diriku dengan bentengMu yang tidak boleh ditembusi (oleh
sesiapa)."
Al-Rabi'
melaporkan:" Aku mempelajari doa itu dan tidak pernah menghadapi saat
kesusahan."
Pada ketika
itu, aku bertanya kepada Ja'far bin Muhammad AS:" Mengapa anda
melarang pembohong itu daripada bersumpah dengan nama Allah?"
" Aku
menahannya (daripada bersumpah dengan nama Allah) kerana Allah SWT akan
menyaksikan lelaki itu memuji KeesaanNya dan memuliakanNya," beliau
menjawab, " kerana hal itu Dia akan menangguhkan hukuman ke atasnya.
Oleh yang demikian, aku memintanya bersumpah dengan cara yang engkau dengar
tadi dan Allah menimpakan bala yang dahsyat ke atasnya (pada saat itu
juga)."
Sebelum
peristiwa itu berlaku, Imam J'afar al-Sadiq AS dituduh memungut zakat untuk
diberikan kepada Muhammad al-Mahdi yang menentang al-Mansur. Imam al-Sadiq
AS juga dituduh menyokong pemberontakan Muhammad bin Abdullah dan
saudaranya Ibrahim bahkan Imam Ja'far AS juga dituduh sebagai dalang di
belakang pemberontakan tersebut. Pada hakikatnya semua tuduhan-tuduhan itu
tidak benar. Walau bagaimanapun al-Mansur telah menggunakan ancaman yang
keras dalam penyiasatannya terhadap Imam Ja'far al-Sadiq AS. Al-Mansur
tidak memperdulikan sinar hidayah, kebaikan, kehormatan kerabat,
silaturahim dan darjat ilmu Imam Ja'far al-Sadiq AS. Pada suatu ketika
dialog antara Al-Mansur dengan Imam AS. Imam Al-Sadiq AS dipanggil
ke istana al-Mansur kerana beliau AS dituduh menulis surat kepada penduduk
Khurasan supaya membatalkan baiah kepada al-Mansur:
"
Engkau ini wahai Ja'far tidak pernah memadamkan hasad dengkimu dan
pencerobohanmu terhadap Ahlul Bayt Bani Abbas dan kamu merosakkan harta
mereka. Dengan demikian Allah SWT menambahkan lagi perasaan hasad dengki
dalam hatimu dan dengannya engkau sampaikan apa yang telah kamu mampu
membuatnya."
Al-Imam
al-Sadiq AS menjawab:
" Demi
Allah SWT wahai Amirul Mukminin. Aku tidak membuat sesuatu daripada apa
yang kamu katakan. Di zaman kekuasaan Bani Umaiyyah, pada hal kamu tahu
mereka itu adalah manusia yang paling memusuhi kami dan kami tahu
sesungguhnya mereka itu tidak berhak di dalam pemerintahan ini, namun
demikian demi Allah SWT aku tidak pernah memberontak terhadap mereka dan
mereka tidak pernah menerima sebarang gangguan dariku. Bagaimanakah kini
aku membuat semua ini padahal engkau adalah sepupuku, kerabatku yang paling
dekat, yang paling pemurah dan paling ikhsan kepada kami? Bagaimanakah aku
boleh berbuat sedemikian rupa?"
Lalu
al-Mansur terdiam seketika. Kemudian dia menyambung lagi:
"
Wahai Ja'afar, tidak malukah engkau dengan usiamu yang tua ini, dengan
nasab keturunan ini, tetapi bercakap perkara yang batil, memecahbelahkan
kekuatan Muslimin, bercita-cita untuk menumpahkan darah dan menyebarkan
fitnah di kalangan rakyat jelata dan wali Allah SWT?"
Imam Ja'far
al-Sadiq AS berkata:
"
Tidak demi Allah SWT! Wahai Amirul Mukminin! Aku tidak berbuat demikian.
Ini bukan suratku, bukan tulisanku dan bukan cop moho cincinku."
Lantas
Al-Mansur menghunus pedangnya dan menyoal Imam AS bertalu-talu. Imam Ja'far
AS tetap menafikan segala tuduhan tersebut. Kemudian al-Mansur memasukkan
pedangnya semula ke dalam sarung. Lantas diam seketika dan kemudian
berkata:
" Aku
menyangka bahawa engkau memang benar."
Demikianlah
bagaimana Ja'far al-Sadiq AS menjawab segala tuduhan itu dengan lembut dan
bernas tetapi al-Mansur berkata kepadanya dengan bahasa yang kasar dan
keras.
Doktrin
taqiyyah merupakan ajaran Ahlu Bayt AS yang bertujuan untuk memelihara diri
dan yang lebih penting untuk menjamin ikhtiar hidup Islam yang dibawa oleh
Ahlul Bayt AS. Lantaran ini Imam al-Sadiq AS mengarahkan para pengikutnya
mengamalkan taqiyyah pada keadaan-keadaan yang menuntut taqiyyah. Taqiyyah
menjadi haram jika ia menyebabkan jiwa orang lain terancam. Al-Kulaini
meriwayatkan dalam al-Kafi bahawa Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata kepada
Mua'lla ibn Khunays," Peliharalah urusan kami dengan segala rahsia dan
janganlah engkau membocorkannya di khalayak ramai, kerana barang siapa
merahsiakan dan tidak mendedahkannya, Allah akan memuliakan dirinya di
dunia dan dijadikanNya nur di antara kedua matanya di akhirat, memandunya
ke syurga. Wahai Mua'lla! Barang siapa yang membocorkan urusan kami di
khalayak ramai dan tidak menyembunyikannya, Allah akan menghinakannya di
dunia dan akan menarik balik nur di antara kedua matanya di akhirat, dan
akan dijadikanNya kegelapan untuknya yang akan membawanya ke neraka. Wahai
Mu'alla, sesungguhnya taqiyyah adalah Dinku dan Din bapaku dan seseorang
yang tidak mengamalkan taqiyyah tidak mempunyai Din. Wahai Mu'alla, Allah
menyukai seseorang yang beribadat secara sirr (sembunyi) sebagaimana juga
Dia menyukai seseorang yang beribadat secara terang-terangan. Wahai Mu'alla
barang siapa yang mendedahkan urusan kami, ia adalah seperti orang yang
tidak mempercayainya."
Doktrin
taqiyyah memang mempunyai dasar dalam al-Qur'an Al-Qur'an surah 16:106,
bermaksud:" Barang siapa yang kafir kepada Allah sesudah beriman (dia
mendapat kemurkaan Allah) kecuali orang yang terpaksa padahal hatinya tetap
dalam iman."
Namun
demikian, Mu'alla sendiri telah dibunuh oleh Dawud bin Urwah kerana
keenggannya mendedahkan nama-nama orang Syiah. Kisahnya sebagaimana
dicatatkan oleh Muhammad Jawad Mughniyyah seperti berikut:
"Mu'alla
bin Khunays adalah di antara orang-orang yang rapat dengan Imam Ja'far
al-Sadiq AS. Beliau menguruskan hal ehwal kewangan Imam Ja'far AS yang suci
itu. Mansur menulis kepada Dawud bin Urwah, gabenor Madinah, memerintahkan
supay Mu'alla dibunuh. Dawud memanggil Mu'alla dan berkata kepadanya:
"
Tuliskan nama-nama orang syiah yang engkau ketahui. Sekiranya engkau tidak
mahu memberikan kerjasama, aku akan pancung kepalamu."
"
Mu'alla berkata:" Adakah engkau akan mengancam aku dengan kematian?
Aku bersumpah dengan nama Allah seandainya salah seorang nama mereka berada
di bawah tapak kakiku, aku tidak akan mengangkat kakiku itu."
Dawud
kemudian memenggal kepala Mu'alla dan menggantungnya.
Di kalangan
pengikut-pengikut Imam AS, taqiyyah diamalkan sesuai dengan ajaran Ahlul
Bayt AS. Al-Kulaini meriwayatkan dari Abi Khalid Shaynulah (beliau)
berkata:
" Aku
bertanya Abu Ja'far al-Thani AS (Muhammad al-Taqi AS),semoga diriku menjadi
tebusanmu, pemimpin-pemimpin kami dalam hadith-hadith meriwayatkan dari Abu
Ja'far AS (Muhammad al-Baqir AS) dan Abu Abdillah AS (Ja'far al-Sadiq AS)
dan pada masa itu mereka terpaksa bertaqiyyah. Mereka lazimnya
menyembunyikan tulisan-tulisan mereka dan seterusnya kitab-kitab ini tidak
pernah dijadikan petikan (dalam meriwayatkan hadith-hadith). Sekarang
mereka telah meninggal dunia dan kitab-kitab yang tersembunyi itu telah
kami temui. Mendengar ini, Imam AS berkata:
"Riwayatkan
dari kitab-kitab tersebut kerana kitab-kitab tersebut adalah benar."
Imam Ja'far
al-Sadiq AS dan Ulama Fiqh
Dua orang
tokoh ulama fiqh yang hidup sezaman dengan Imam al-Sadiq AS ialah Abu
Hanifah dan Malik bin Anas. Imam Ja'far al-Sadiq AS lebih awal wafat dari
kedua-duanya. Abu Hanifah adalah pengasas madzhab Hanafi. Abu Hanifah
banyak menggunakan qias bi ra'y dalam hukum-hukum fiqh. Imam Ja'far
al-Sadiq AS tidak sependapat dalam hal ini kerana beliau AS tidak menerima
qias sebagai satu kaedah fiqh. Suatu ketika Abu Hanifah datang menemui Abu
Abdillah AS dan beliau AS mengemukakan soalah kepada Abu Hanifah," Wahai
Abu Hanifah, telah sampai kepadaku bahawa anda menggunakan qias? Abu
Hanifah menjawab," Benar, aku melakukannya." Imam AS kemudian
berkata," Tidak boleh menggunakan qias dalam soal hukum kerana yang
paling awal menggunakan qias adalah iblis, bila dia berkata," (Wahai
Allah) Engkau menjadikan daku daripada api dan Engkau menjadikan Adam
daripada tanah, oleh itu Iblis mengqiaskan api dengan tanah. Jika iblis
membandingkan nuriyyah (cahaya) Adam dengan nuriyyah api dia akan
mengetahui yang mana lebih afdal di antara kedua-duanya, dia akan
mengetahui yang pertama itu lebih jernih daripada lainnya."
Pada suatu
kesempatan lain Imam Ja'far al-Sadiq AS menjelaskan:
"
Barang siapa yang menegakkan qias ke atas dirinya, tidaklah ia terlepas
daripada menempuhi kekeliruan dan keraguan. Dan barang siapa yang mengikut
pendapatnya sendiri dalam agama Allah, tidaklah ia terlepas daripada kekal
sentiasa dalam keraguan-keraguan."
" Abu
Ja'far AS berkata," Barang siapa memberikan fatwa kepada manusia
dengan berdasarkan pendapatnya sendiri (bi ra'y) maka sesungguhnya ia telah
mengikut agama Allah dengan apa yang ia tidak ketahui. Dan barang siapa
mengikut agama Allah dengan tidak ada pengetahuan ke atasnya, maka
sesungguhnya ia telah bercanggah dengan kehendak Allah SWT kerana ia telah
mengisytiharkan itu halal dan yang ini haram tanpa mengetahui kedudukan
yang sebenarnya."
Kaedah Abu
Hanifah itu jelas bertentangan dengan pendapat Imam Ja'far al-Sadiq AS.
Imam berpendapat Kitabullah dan Sunnah Rasul S.A.W adalah lengkap dan sempurna.
Ijtihad hanya mengikut al-Qur'an dan Sunnah Rasul S.A.W. Oleh itu ijtihad
bi ra'y (ijtihad dengan pendapat sendiri) tidak dibenarkan. Imam al-Sadiq
AS berkata:
"
Tidak ada sesuatu perkara pun yang menjadi perbalahan di antara dua orang
tetapi penyelesaiannya pasti boleh didapati dalam Kitabullah Azza Wa Jalla,
walau bagaimanapun akal manusia tidak cukup tajam untuk sampai
kepadanya." Beliau berkata lagi:
"
Tidak ada sesuatu perkarapun yang wujud tetapi semuanya telah dijelaskan
dalam Kitabullah dan al-Sunnah." Dalil al-Qur'an:
"Dan
Kami turunkan kepadamu al-Kitab (Qur'an) untuk menjelaskan segala sesuatu
dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah
diri." [al-Qu'ran: 16:89]
Dalam surah
6:38, Allah SWT berfirman, bermaksud:
"
Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab (al-Qur'an)."
Kononnya
dikatakan Abu Hanifah sudah menerima seluruh ajaran Imam al-Sadiq AS
kecuali tiga pendapatnya yang bertentangan dengan pendapat Imam al-Sadiq
AS. Pertama, Imam al-Sadiq AS berpendapat bahawa kebaikan itu berasal dari
Tuhan, sedangkan kejahatan berasal dari perbuatan manusia sendiri. Abu
Hanifah berpendapat bahawa segala yang baik dan jahat itu berasal dari
Tuhan. Kedua Imam Ja'far AS berpendapat bahawa syaitan itu dibakar dalam api
neraka pada Hari Qiamat. Abu Hanifah berpendapat api tidak dapat membakar
api dan syaitan itu dicipta dari api. Ketiga, Imam Ja'far AS mengatakan
bahawa melihat Tuhan di dunia dan akhirat mustahil. Abu Hanifah berpendapat
setiap maujud mungkin melihat Tuhan jikalau tidak di dunia ia akan melihat
nanti di akhirat. Kononnya perdebatan ini didengar oleh penganut-penganut
ajaran Imam Ja'far AS bersemangat, lalu melempar kepala Abu Hanifah dengan
sebiji bongkah tanah dari tembok. Tatkala orang itu ditanya mengapa, ia
menjawab, bahawa ia tidak berbuat kejahatan itu, dan kejahatan itu
datangnya dari Tuhan dan bukannya dari manusia dan bukan dari ikhtiyar,
bahawa ia tidak dapat menyakitkan Abu Hanifah dengan bongkah itu kerana Abu
Hanifah dicipta dari tanah, dan ia meminta Abu Hanifah memperlihatkan
kesakitan, pada kepala, kalau benar ia dapat melihat Tuhan di dunia dan di
akhirat."
Malik bin
Anas berasal dari Yaman. Beliau dilahirkan pada tahun 93 Hijrah di Madinah
dan wafat pada tahun 173 Hijrah. Ada pendapat beliau dilahirkan pada tahun
95 Hijrah dan wafat pada tahun 179 Hijrah. Beliau tidak pernah meninggalkan
kota Madinah. Beliau dianggap ahli ilmu Hadith dn ilmu fiqh. Beliau lebih
banyak berjumpa dengan Imam Ja'far al-Sadiq AS dan beliau salah seorang
daripada perawi-perawi hadith daripada Imam Ja'far al-Sadiq AS. Dalam Bihar
al-Anwar, Imam Malik diriwayatkan pernah berkata mengenai Imam al-Sadiq AS:
"
Beliau termasuk di antara orang-orang ahli ibadah dan zahid yang agung,
yang betul-betul takut akan Tuhannya serta terlalu banyak mengetahui
tentang Hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Beliau adalah teman yang
menyenangkan dalam majlis dan pergaulan. Majlisnya penuh dengan ilmu dan
keberkatan. Bila beliau mendengar nama Rasulullah S.A.W disebut, maka air
mukanya cepat sekali berubah." Malik bin Anas juga pernah pergi
menunaikan Haji bersama-sama Imam al-Sadiq AS.
Murid-murid
Imam Ja'far al-Sadiq AS
Terdapat
ramai murid-murid yang pernah belajar dari Imam al-Sadiq AS. Di antaranya
ialah seperti Malik bin Anas dan Abu Hanifah. Di antara tokoh sufi pula
ialah al-Fudayl bin Iyad. Beliau dikatakan menulis sebuah kitab yang
bernama Misbah al-Syari'ah dan dikatakan mengandungi satu siri pelajaran
yang diterimanya dari Imam al-Sadiq AS. Fudayl meninggal dunia pada tahun
187 Hijrah. Salah seorang tokoh Hadith yang mendapat pelajaran dari Imam
al-Sadiq AS ialah Sufyan bin Uyaynah (wafat 198 Hijrah). Seterusnya Syu'bah
bin Hajjaj (wafat 160 Hijrah) yang disebut oleh al-Syafie sebagai seorang
yang amat ahli tentang Hadith di Baghdad, Hatim bin Ismail (wafat 180
Hijrah), Hafas bin Ghiyas yang pernah menghafal tiga atau empat ribu
Hadith, Ibrahim bin Muhammad yang digelar oleh Abu Ishak al-Madani, pernah
mengumpulkan hadith dari Imam al-Sadiq AS menjadi sebuah kitab yang
dinamakan "Halal dan Haram", Abdul Aziz bin Umar al-Zuhri (wafat
197H), Ayyub al-Sajastani, Abdul Malik bin Juraih al-Quraisyi (wafat 149
Hijrah), Zuhair bin Muhammad al-Tamimi (wafat 162 Hijrah) dan lain-lain
lagi.
Dari
kalangan syiah ialah Aban bin Tughlab yang banyak meriwayatkan hadith dari
Imam al-Sadiq AS, Aban bin Uthman bin Ahmar al-Bajari yang berasal dari
Kufah yang telah menghasilkan karya "al-Mubtadi",
"al-Ba'as", "al-Maghazi" dan "al-Wala". Ibn
Hibban memasukkannya dalam senarai tsiqah iaitu orang-orang yang dipercayai
dalam meriwayatkan hadith. Kemudian Bukhair bin A'yun al-Syaibani, Jamil
bin Darraj bin Abdullah al-Nakhai, Hummad bin Usman in Ziyadar al-Rawasi,
al-Harith bin Mughirah al-Nashri, merupakan tokoh periwayat hadith Imam
al-Sadiq AS. Hisyam bin Hakam al-Kindi merupakan tokoh ulama syiah yang
alim dalam ilmu agama dan falsafah. Ia juga seorang sahabat Imam al-Sadiq
AS. Imam al-Sadiq AS pernah berkata tentang diri tokoh ini:
"
Engkau selalu diilhamkan oleh Tuhan dalam membantu golongan kami dengan lidahmu."
Imam AS pernah juga berkata:
"
Orang ini pembantu kita dengan hatinya, lidahnya dan tangannya,
mempertahankan hak-hak kita dan membela golongan (syiah) kita daripada
musuh kita."
Al-Kulaini
memuji Hisyam ibn al-Hakam tentang ilmunya mengenai dirayah dan rawayah
hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang sahih dan tentang kuat serta teguh
pegangannya kepada al-Qur'an dan Sunnah.
Sekitar
Ajaran Imam al-Sadiq AS
Tentang
Akal
Madzhab
Ahlul Bayt AS memandang tinggi kepada penggunaan akal dalam kehidupan manusia
khususnya dalam memahami hal ehwal agama Allah terutamanya dalam usuluddin.
Al-Kulaini meriwayatkan sebuah hadith dari Imam al-Sadiq AS seperti
berikut:
"
Sekumpulan sahabat-sahabat kami meriwayatkan dari Ahmad bin Muhammad dari
ali ibn Hadid dari Samaah ib Mihran berkata: Aku sedang berada bersama-sama
Imam Aba Abdillah AS. Beliau berada bersama-sama dengan jamaah
pengikut-pengikutnya. Imam Aba Abdillah berkata:" Kenalilah akal dan
tentera-tenteranya dan kenalilah kejahilan dan tentera-tenteranya. Seandainya
kamu mengenalinya kamu akan mendapat petunjuk."
Berkata
Sama'ah:" Semoga diriku menjadi tebusanmu, kami tidak mengetahui
kecuali apa-apa yang anda ajarkan kepada kami." Berkata Aba Abdillah
AS:
"
Sesungguhnya Allah Azza Wa-Jalla telah menjadikan akal dari cahayaNya di
sisi kanan ArasyNya dan ia (akal) itu adalah makhluk yang awal di antara
ruh-ruh. Selepas kejadiannya Allah Tabaraka Wa-Ta'ala memerintahkannya
pergi, akal menurut perintahNya. Kemudian Allah memerintahkan datang
kepadaNya, akal menurut perintahNya. Kemudian Allah Tabaraka Wal-Ta'ala
berfirman:" Telah Aku jadikan engkau makhluk yang agung dan Aku
anugerahkan ke atas engkau karamah (kemuliaan) ke atas sekalian
makhluk-makhlukKu." Kemudian Allah menjadikan al-Jahlu (kejahilan) daripada
lautan masin dan gelap dan memerintahkannya pergi. Al-Jahlu menurut
perintahNya. Maka Allah memerintahkannya menemuiNya. Al-Jahlu enggan
menurut perintahNya. Maka Allah berfirman:" Engkau angkuh," maka
Allah melaknatnya. Selepas itu Allah mengurniakan tujuh puluh lima bala
tentera kepada akal. Apabila al-Jahlu menyaksikan Allah memuliakan akal dan
bagaimana Allah mengurniakan pembantu-pembantu kepada akal maka rasa
permusuhan lahir dalam dadanya dan al-jahlu berkata kepada Allah,"
Wahai Tuhanku! Akal adalah suatu kejadian yang sama sepertiku, maka Engkau
memuliakannya dan juga menguatkannya dengan bala tentera dan aku adalah
kebalikan darinya. Aku tidak diberi kekuatan untuk menandinginya, maka
kurniakanlah kepada ku bala tentera seperti mana yang Engkau berikan kepada
akal. Maka Allah menerima permintaannya itu dan berfirman:" Sekiranya
kamu mengengkari perintahku sekali lagi Aku akan putuskan engkau dan
tentera-tenteramu dari rahmatKu." Al-Jahlu berkata," Aku redha
dengan perintahMu." Maka Allah mengurniakan 75 tentera pembantu kepada
al-Jahlu.
"
Al-Khair (kebaikan) adalah (wazir) pembantu kepada akal dan bertentangan
dengan al-syar (kejahatan) dan itu adalah wazir kepada al-jahlu; al-iman
adalah berlawanan kepada al-kufr; al-tasdiq (kepatuhan dalam hati adalah bertentangan
kepada al-juhud (penolakan); al-raja' (harapan) adalah lawan kepada
al-qanut (putus harap); al-adl (adil) adalah lawan kepada al-jawru
(aniaya); al-redha lawan kepada al-suhtu (marah dan tidak suka); al-syukr
(syukur) lawan kepada al-kafirun (menolak); al-tama' (optimisme) lawan
kepada al-ya'su (pesimisme); al-tawakal lawan kepada al-qaswah (angkuh);
al-rahmah lawan kepada al-ghadhib (marah); al-ilm berlawanan kepada
al-jahlu; dan ak-fahm (faham) lawan kepada al-hamaq (dungu); al-affah
(menjauhkan diri daripada yang haram) lawan kepada haaltahtika (sifat tidak
malu - mengerjakan yang haram); al-zahid lawan kepada al-raghbah (sifat
suka dunia); al-rafiq (lemah-lembut) lawan kepada al-hariq (kebodohan dan
kejanggalan); dan al-rahbah (takutkan Allah) lawan kepada al-juratu (berani
menentang Allah); al-somtu (diam) lawan kepada al-hazir (sombong); dan
al-istaslam (menyerah diri kepada Allah) lawan kepada al-istakbar (bongkak
dan angkuh); al-taslim (menyerah) lawan kepada al-syakk (ragu-ragu); al-sobr
lawan kepada al-jaza'u (tergesa-gesa); dan al-sofhu (ampun) lawan kepada
al-intaqam (dendam); al-ghina (sifat memadai-puas hati) lawan kepada
al-faqir (meminta-minta); dan al-tazakkir (mengingati Allah) lawan kepada
alsahwa (lupa); dan al-hifzu (pemelihara) lawan kepada al-nisyan (pelupa
dan tidak peduli); al-ta'attapa (cenderung dan simpati) lawan kepaa
al-qati'ah (menyekat-mendinding); al-qanau' (puas dan rela) lawan kepada
al-hirsu (tamak); dan al-mawaddah (kasih sayang) lawan kepada al-adawah
(permusuhan); al-mauasah (konsolasi) lawan kepada al-mana' (menghalang);
dan al-wafa' (kesetiaan) lawan kepada al-ghadar (belot); al-ta'ah (taat)
lawan kepada al-ma'siyah (maksiat); al-khudu' (tunduk) lawan kepada
al-tatawil (dominasi); al-salamah (keselamatan) lawan kepada al-bala'; dan
al-habba (kasih sayang) lawan kepada al-bughdu (kebencian); dan al-sidqu
(yang benar) lawan kepada al-kazab (pembohong); dal al-haq lawan kepada
al-batil; dan al-amanah lawan kepada al-khianat; al-ikhlas lawan kepada
al-syaubu (bercampur matlamat); al-syahamah (bijaksana dan berani) lawan
kepada al-baladah (bodoh dan penakut); al-fahm (faham) lawan kepada
al-ghabawah (bebal); dan al-ma'rifah lawan kepada al-ankar (engkar);
al-mudarah (menjaga rahsia) lawan kepada al-mukasyafah (pembuka
rahsia-belot); al-salamah (sejahtera) lawan kepada al-makarah (tipudaya);
al-kitman (menutup rahsia) lawan kepada al-fasya' (berhamburan); dan
al-solah lawan kepada al-adha'ah (mengabaikan solat); al-saum (berpuasa)
lawan kepada al-iftar (gemar makan); al-jihad lawan kepada al-naklu
(terbelenggu dari jihad); al-Hajj ( mengikat perjanjian kepada Allah iaitu
tidak menyembah kecuali Allah)lawan kepada al-misaq (memungkiri perjanjia
tersebut); al-saun (menjaga dan memelihara cerita-cerita orang lain) lawan
kepada al-namimah (membuat cerita); dan al-biru al-walidani (berbuat baik
kepada ibubapa) lawan kepada al-uquq (derhaka kepada ibubapa); al-haqiqah
(realiti) lawan kepada al-riya" (pamer); al-ma'ruf lawan kepada
mungkar; al-sitru (menutup diri) lawan kepada al-tabaraj (menunjuk);
al-taqiyah (memelihara rahsia kepentingaan agama daripada musuh) lawan
kepada al-iza'ah (penzahiran yang mengakibatkan kehilangan kerosakan); dan
al-insaf (sedar akan kebenaran dan keadilan) lawan kepada al-hamiyyah
(berat sebelah); al-tahiah (bercampur dalam masyarakat seperti mesra dalam
hubungan sosial) lawan kepada al-baghyu (menentang); dan al-nuzafah
(bersih) lawan kepada al-qazir (kotor); dan al-haya-u (bersopan) lawan
kepada al-jala' (tidak sopan); al-qasdu (sederhana) lawan kepada al-udwan
(melampau); dan al-raha (kesegaran hati) lawan kepada al-ta'abu (depresi -
murung); dan al-sahalah (memudahkan) lawan kepada al-su'ubbah
(menyukarkan); al-barakah (berkat - bertambah-tambah) lawan kepada al-mahku
(hilang berkat dan binasa); dan al-afiat (keselamatan) lawan kepada
al-bala' (malapetaka); dan al-qawam (keteguhan) lawan kepada al-mukathirah
(banyak cakap); dan al-hikmah (bijaksana) lawan al-hawa' (mengikut hawa
nafsu - cinta dunia); al-waqar (kehormatan) lawan kepada al-hiffah (sifat
rendah akal budi); dan al-istighfar (memohon ampun) lawan kepada
al-ightirar (tidak jujur dengan taubat); al-muhafizu (memelihara) lawan
kepada ahaaltahawun (cuai dan abai); ak-du'a (berdoa kepada Allah SWT)
lawan kepada al-istankafa (memandang rendah - mudah dan tidak mahu
berdo'a); dan al-nasyyat (cergas) lawan kepada al-kasal (malas); al-farah
(sukacita) lawan al-hazan (dukacaita); al-ulafah (mesra- berkawan, dan
bersatu) lawan kepada al-furqah (berpecah-belah); dan al-saha'a (murah
hati) lawan kepada al-bakhil (kedekut)."
" Maka
semua sifat-sifat yang dikatakan itu akan menjadi pasukan tentera yang kuat
dan bertenaga kepada akal dan semua sifat-sifat ini tidak akan berpadu ke
dalam diri seseorang jua kecuali Nabi S.A.W, wasinya AS, dan mu'min yang
imannya telah diuji oleh Allah SWT. Dan tidak ada sahabat kepada kami (para
Imam) yang tidak memiliki sifat-sifat tersebut tetapi memiliki sifat-sifat
yang diperuntukkan kepada kejahilan sehingga dia membina akalnya ke arah
kesempurnaan dan mengikis segala kelemahan yang lahir daripada kejahilan.
Maka para peringkat ini dia dikurniakan darjat kemuliaan bersama dengan
Nabi S.A.W dan wasi-wasinya. Dan sesungguhnya dia mencapai kedudukan
tersebut dengan makrifat al-akal dan tentera-tenteranya dan setelah
menjauhkan dirinya daripada al-jahlu dan tentera-tenteranya. Dan semoga
Allah mengurniakan kita kemampuan untuk taat kepadaNya dan mendapat
redhaNya." [Al-Kafi, Kitab aqal wal-jahlu, hadith nombor ke-14].
Imam Ja'far
al-Sadiq AS juga berkata:
"
Barang siapa mempunyai akal, baginya mempunyai Din, dn barang siapa
mempunyai Din, baginya tempat di syurga." [Al-Kafi, Kitab al-aqal
wal-jahlu, hadith nombor 6]
Imam
al-Sadiq AS mentakrifkan akal seperti berikut:
"
(seseorang bertanya kepada Imam al-Sadiq AS) Apakah itu akal?" Imam
menjawab:
" Akal
adalah dengannya al-Rahman (Allah SWT) disembah dan dengannya memperolehi
al-jinan (syurga)."
Dalam
dialog seterusnya, Imam al-Sadiq AS ditanya:" Apa pula yang dilakukan
oleh Muawiyah?" Imam menjawab:" Itu adalah al-nukarak
(pengengkaran - penipuan) Ia adalah sifat syaitan, walaupun kelihatannya
macam akal tetapi ia bukan sifat akal yang sebenarnya." [Al-Kafi,
Kitab al-aqal wal-jahlu, hadith nombor 3]
Imam
al-Sadiq juga menjelaskan peranan akal seterusnya:
"
Melalui akal manusia mengenal KhaliqNya dan melalui akal mereka mengenal
diri mereka itu tidak tercipta dengan sendirinya tetapi Dialah (Allah SWT)
yang mengaturkan (al-mudabbir) mereka dan mereka adalah yang ditadbir
(al-mudabbar) olehNya. Melalui akal mereka memahami objek-objek ciptaanNya,
langit, bumi, matahari, dan bulan dan malam dan siang. Melalui akal mereka
menyedari bahawa ada Pencipta (al-Khaliq) dan Pengatur (al-Mudabbir) ke
atas diri mereka dan bagi seisi alam ini itu sudah sewajarnya ada dan akan
sentiasa ada. Nelalui akal mereka dapat mengenalpasti (arif) kebaikan
daripada keburukan. Dan melalui akal mereka dapat mengenal dan memahami
kegelapan (zulumah) yang terkandung dalam kejahilan dan cahaya (nur) yang
terkandung dalam ilmu pengetahuan (ilm). Semua ini ditunjukkan kepada
manusia melalui akal."[Al-Kafi, Kitab al-aqal wal-jahlu, hadith nombor
35]
Kepentingan
Ilmu
Diriwayatkan
dari beliau AS:" Telah bersabda Rasulullah S.A.W:" Mencari ilmu
wajib bagi setiap Muslim. Ketahuilah bahawa Allah mencintai orang-orang
yang sentiasa ingin menuntut ilmu." [Al-Kafi, Jilid 1, hadith nombor
41-5.]
Imam Ja'far
al-Sadiq AS berkata:" Ulama adalah pewaris Nabi-nabi dan sesungguhnya
Nabi-nabi tidak mewariskan dirham atau dinar, tetapi mereka meninggalkan
hadith-hadith. Barang siapa mengambil sebahagian daripadanya maka dia telah
mengambil satu bahagian yang berguna. Oleh itu lihatlah sumber daripada
mana hadith-hadith itu diperolehi. Sesungguhnya sumbernya adalah daripada
kami (Ahlul Bayt AS). Setiap seorang daripada kami akan menjelaskan
penyelewengan yang dilakukan oleh golongan yang melampau, memadamkan segala
kebatilan, dan takwil golongan yang jahil." [Al-Kafi, Jilid 1, hadith
nombor 47-2]
Tentang
Tauhid
Dari Aba
Abdillah AS, berkata:" Ketika Amirul Mu'minin sedang memberi khutbah
di mimbar di masjid Kufah, seorang lelaki bernama Dhi'lib, seorang yang
terkenal pandai berucap, bangun dan bertanya," Wahai Amirul
Mu'minin!" Adakah anda melihat Tuhan anda?" Amirul Mu'minin
menjawab," Celakalah kamu, wahai Dhi'lib, Aku tidak menyembah Tuhan
yang tidak aku melihatNya. Lelaki itu bertanya lagi: " Bagaimana anda
melihatNya?" Beliau menjawab: " Celaka engkau. Mata manusia tidak
boleh melihatNya dengan penglihatan mata, tetapi mata hatilah yang
melihatNya dengan hakikat iman." [Al-Kafi, Jilid 1, hlm. 69.]
Imam
al-Sadiq AS meriwayatkan tentang tauhid yang sebenarnya:
"
(Allah itu) Maha Suci dari apa yang disifatkan oleh orang-orang yang
menyifatkanNya, yang menyerupakanNya dengan makhlukNya, yang mengatakan
sesuatu yang dusta tentang Allah. Maka ketahuilah, semoga Allah merahmatimu
bahawa madzhab yang sahih dalam tauhid adalah yang diturunkan oleh
al-Qur'an mengenai sifat-sifat Allah Azza Wal-Jalla. Maka hilangkan dari
Allah segala nafi (negatif) ataupun penyerupaan pada DiriNya. Dia adalah
Allah yang pasti wujudNya, Maha Tinggi dari apa yang disifatkan oleh para
pemyifat. Dan janganlah kamu semua melampaui al-Qur'an, sebab jika demikian
kamu akan sesat setelah memperolehi penjelasan." [Al-Kafi, Jilid 1,
hlm.100]
Persaudaraan
Islam
Imam
al-Sadiq AS berkata:" Dekatkanlah dirimu kepada Allah melalui kasih
sayang terhadap saudara-saudaramu."
Imam al-Sadiq
AS berkata:
"
Ingatlah bahawa jika kamu menolong saudara seagamamu, kamu akan memperolehi
penghargaan yang lebih tinggi oleh saya daripada kamu menyelesaikan tawaf
mengelilingi Ka'bah seminggu lamanya. Dan Imam AS menambah:" Seseorang
datang kepada Imam Hasan AS dan memohon bantuan dalam kesulitannya. Imam
Hasan dengan segera memakai kasutnya dan pergi bersamanya. Dalam
perjalanan, mereka tiba di suatu tempat di mana Imam Husein AS sedang
solat. Imam AS bertanya kepada orang itu:" Mengapa kamu tidak berhubung
kepada Husein untuk menolongmu dalam kesulitan yang sedang kau
hadapi?" Orang itu menjawab:" Wahai cucu Rasulullah! Maksud saya
sebenarnya demikian, tetapi beliau sedang dalam khusyuk, maka saya tidak
jadi pergi kepadanya." Berkata Imam Hasan AS:" Tetapi seandainya
ia telah menerima kesempatan itu untuk menolongmu maka hal itu akan lebih
baik daripada khalwat (beribadat sendirian) selama satu
bulan."[Al-Kafi, Jilid 2, hlm.158]
Sifat Orang
Beriman
Al-Kulaini
meriwayatkan dalam al-Kafi dari Ali bin Ibrahim dari ayahnya dari Ibn Abi
Umayr dari al-Qasim ibn Urwah dari Abul al-Abbas, dia berkata: Abu Abdillah
AS berkata:
"
Barang siapa yang menyukai amalan baiknya dan tidak menyukai amalan
buruknya maka dia adalah Mukmin."
Di dalam
riwayat yang lain Abu Abdillah AS berkata:
"
Orang Mukmin menyumbangkan banyak kebaikan dan mengambil darinya sedikit,
dia sangat bijak dalam menguruskan dirinya dan tidaklah terjatuh ke dalam
satu lubang dua kali."
Di dalam
riwayat yang lain, Abu Abdillah AS berkata:
"
Orang beriman tidak akan melalui empat puluh malam tanpa menilai urusan
yang (telah dilaluinya) yang menyusahkan hatinya dan membuat ia mengingati
(Allah SWT)."
Al-Qur'an
Dan al-Sunnah
Dari Abu
Abdillah AS berkata:
"
Setiap sesuatu yang kamu terima, maka kembalikanlah ia kepada Kitab Allah
dan al-Sunnah. Setiap hadith yang tidak sesuai dengan Kitab Allah,
(sebenarnya) ia adalah palsu." [Al-Kafi Jilid 1, Kitab Fadl al-Ilm,
hadith 203-3]
Dari Abu
Abdillah AS berkata:
"
Sesungguhnya fuqaha yang sebenarnya ialah yang zuhud terhadap dunia,
cenderung kepada akhirat dan berpegang kepada sunnah Nabi S.A.W."
[Al-Kafi, Jilid 1, Kitab Fadl al-Ilm, hadith 208-8]
Kewafatan
Imam Ja'far al-Sadiq AS
Imam
al-Sadiq AS wafat pada 25 Shawwal 148 Hijrah kerana diracun oleh gabenor
Madinah atas perintah khalifah al-Mansur. Mendengar berita kesyahidan Imam
aS, al-Mansur menulis surat kepada gabenor Madinah, dan memerintahkannya
pergi ke rumah Imam AS, berpura-pura meminta wasiat dari Imam AS dan
membacakannya. Sebenarnya ia bertujuan untuk menghapuskan sesiapa juga yang
dipilih oleh Imam AS untuk menggantikannya beliau sebagai pewaris Imamah.
Ketika gabenor Madinah itu melaksanakan perintah al-Mansur itu, ia
mendapati Imam AS telah memilih empat orang sebagai penggantinya. Mereka
ialah al-Mansur sendiri, gabenor Madinah, Ismail, putera Imam AS yang
sulung (yang telah meninggal dunia) dan Imam Musa al-Kazim AS. Pada
hakikatnya pengganti Imam Al-Sadiq AS ialah Imam Musa al-Kazim AS.Walau
bagaimanapun dengan wasiat Imam As yang mengelirukan itu, maka niat jahat
al-Mansur akhirnya gagal dilaksanakan.
Jenazah
Imam al-Sadiq AS dikebumikan di perkuburan al-Baqi', Madinah iaitu
bersebelahan dengan makam al-Hasan AS, makam ayahnya al-Baqir AS, dan makam
datuknya Imam Ali Zainal Abidin AS.
Imam Ja'far
al-Sadiq AS hidup bagaikan cahaya yang memancarkan kilauannya untuk
menyinari jalan umat Islam sepanjang zaman.
|